comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Industri permainan video Malaysia dijangka raih RM3.3 bilion

KUALA LUMPUR: Industri permainan video tempatan mencatatkan pertumbuhan yang ketara dengan pendapatan dijangka mencecah kira-kira AS$694 juta (RM3.3 bilion) tahun ini.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata pasaran dijangka menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan yang stabil sebanyak 7.55 peratus dan akan menghasilkan unjuran volum nilai pasaran kira-kira AS$807 juta (RM3.85 bilion) menjelang 2027.

“Oleh itu, pelaburan dalam sektor kandungan digital di Malaysia telah berkembang daripada RM550 juta pada 2022 kepada RM1.6 bilion pada 2023.

“Sektor itu diunjur menghasilkan lebih 1.9 juta unit pekerjaan berpendapatan tertinggi untuk syarikat berstatus digital Malaysia,” katanya semasa Majlis Pelancaran Akademi Xsolla Curine (XCA) di sini, hari ini.

Turut hadir, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Mahadhir Aziz.

Gobind berkata, industri kreatif digital ini adalah pemacu kepada pertumbuhan paling ketara bagi Malaysia di mana terdapat banyak minat yang ditunjukkan dalam industri ini.

Pelancaran XCA menandakan komitmen penting dalam memupuk dan memperkasakan bakat tempatan bagi industri permainan video.

Inisiatif yang dimudah cara oleh MDEC ini berdiri sebagai pemangkin kepada transformasi, khusus bagi melengkapkan pembangun permainan dengan kecekapan penting untuk kerjaya yang berkembang maju melalui programnya yang luas dan sejajar dengan industri.

Akademi ini menawarkan pelbagai kursus yang merangkumi bidang utama, termasuk amalan komunikasi dalam industri permainan, reka bentuk dan pembangunan permainan indie, seni grafik komputer, strategi permainan dan inkubasi harta intelek (IP) bermula dari Januari sehingga Disember.

Sementara itu, Mahadhir berkata, akademi itu adalah cerminan untuk memupuk bakat, kreativiti dan membolehkan pertumbuhan dalam ekonomi digital bagi memanfaatkan kepakaran serta sumber.

“Penubuhan XCA menandakan satu lonjakan besar ke hadapan yang menawarkan platform dinamik untuk lebih ramai pembangun permainan yang sedang berkembang, pereka bentuk dan usahawan bersama-sama untuk berkumpul, berinovasi serta berkembang.

“Inisiatif ini bukan semata-mata mengenai pembinaan kemahiran, malah ia adalah mengenai pemangkin untuk menyemarakkan aspirasi dan memacu industri ke era kecemerlangan baharu,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Bersama XCA, Kaveh Wong, berkata minat yang dikongsi bersama terhadap pendidikan dan kemahiran, terutamanya golongan B40 di Malaysia menjadi keutamaan kepada pihaknya bekerjasama dengan institusi kerajaan dan pendidikan bagi meningkatkan kemahiran dan membantu mereka meraih lebih banyak peluang.

“Keutamaan kami adalah untuk mencipta harta intelek sendiri di Asia Tenggara, meningkatkan kemahiran pelajar dan golongan dewasa yang bekerja serta memberi peluang pekerjaan dan gaji yang lebih baik,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini