comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Labuan IBFC pecah rekod prestasi 2023, sumbang RM1.2 bilion kepada kerajaan

Oleh:Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Prestasi perniagaan di Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) memecah rekod melangkaui paras RM1 bilion buat pertama kali.

Menurut Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), Nik Mohamed Din Nik Musa Labuan IBFC mencatatkan prestasi memberangsangkan tahun lalu dengan menyumbang RM1.2 bilion kepada pendapatan kerajaan menerusi cukai.

“Tahap keuntungan bagi Labuan IBFC menjangkau lebih kurang USD4 bilion dan ini menunjukkan bahawa prestasi ini adalah serupa seperti yang dialami pra-Covid pada 2019. Antara sektor yang memberangsangkan adalah sektor bank, sektor insuran, dan juga sektor syarikat kewangan.” katanya selepas membentangkan Laporan Pasaran Labuan IBFC 2023 pagi tadi.

Jumlah pendaftaran syarikat baru berkembang 8% dipacu syarikat baharu dari Asia Pasifik termasuk Singapura, Indonesia, India dan Pakistan.

Sementara itu, sektor perbankan Labuan melonjak tiga kali ganda dan memperluas sayapnya dengan kemasukan dua bank pelaburan dari Dubai dan Vanuatu.

Selain itu, sektor kewangan Islam Labuan telah menerima inovasi digital sebagai asas strategi perniagaan, dengan menerbitkan aset digital Islam pertama di dunia, dikenali sebagai RAMZ bernilai US$50 juta dan disenaraikan di bursa digital Labuan terpilih.

“Kini dalam tahun 2024, tahap aset digital Islam ini telahpun menjangkau lebih US350juta didorong insentif cukai yang akan merangsang pembangunan aset digital secara syariah ini.” tambahnya.

Jelasnya, belanjawan 2024 memberi insentif cukai sebanyak 0% bagi lima tahun, 2024 sehingga 2028 dan segala aktiviti digital secara syariah dan aktiviti pendigital lain akan nikmati cukai 0% daripada sekarang sehingga lima tahun kemudian.

Secara keseluruhannya, sektor kewangan merekod 880 institusi yang diluluskan dan berlesen, menguruskan jumlah aset yang besar bernilai AS$83.3 bilion.

“Dari segi limpahan ekonomi kepada Labuan, kami telah mendapati sejak 2019 tahapnya telah menjangkau sekurang-kurangnya RM200juta ke RM250juta setahun dan ini adalah daripada perbelanjaan operasi setiap bank, insuran dan syarikat yang beroperasi di Labuan.”

Jelasnya, setiap syarikat yang di bawah Labuan IBFC perlu menggaji pekerja di Labuan serta operasi mesti dijana dan dibelanja di Labuan sekaligus memberi impak secara terus dan tidak langsung kepada ekonomi di wilayah persekutuan tersebut.

Bagi tahun lalu, penciptaan peluang pekerjaan baharu dan perbelanjaan tempatan oleh entiti Labuan meningkat dan dianggarkan berjumlah RM219 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini