comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jumlah pekerja tidak formal cecah rekod tertinggi

KUALA LUMPUR: Sektor pekerjaan tidak formal mencecah paras tertinggi baharu dengan mereka yang bekerja sendiri berjumlah 2.97 juta orang pada Ogos 2023, lebih tinggi berbanding paras rekod sebelum ini 2.95 juta orang yang dicatatkan pada Oktober 2018.

Pekerjaan tidak formal merujuk kepada ‘Pekerja Akaun Sendiri’ iaitu mereka yang berpendapatan harian bekerja sebagai peniaga kecil, penjaja, pengusaha gerai makanan, pekebun kecil dan juga pekerja gig.

Maybank Investment Bank dalam satu nota penyelidikan berkata, senario itu diserlahkan lagi dengan pertumbuhan pekerjaan tidak formal yang turut mengatasi pertumbuhan keseluruhan guna tenaga dalam tempoh lapan bulan tahun ini.

Ia berkata, pertumbuhan pekerjaan tidak formal meningkat 7.1 peratus dalam tempoh lapan bulan 2023 berbanding jumlah pertumbuhan guna tenaga 2.5 peratus yang dicatatkan dalam tempoh sama.

“Kadar pengangguran belia turun sedikit kepada 10.8 peratus pada Ogos meskipun masih di atas paras terendah prapandemik iaitu 9.9 peratus pada Disember 2019,” kata bank pelaburan itu dalam nota yang ditulis oleh penganalisis terdiri daripada Suhaimi Ilias, Dr Zamros Dzulkafli dan Fatin Nabila Mohd Zaini.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam melaporkan bilangan penganggur pada Ogos 2023 terus menurun kepada 577,300 orang, dengan kadar pengangguran 3.4 peratus.

Sementara itu, Maybank Investment Bank mengekalkan unjurannya bagi kadar pengangguran untuk 2023 dan 2024 dengan masing-masing pada 3.5 peratus dan 3.4 peratus.

Ia berkata, unjuran kadar pengangguran 2023 dikekalkan pada 3.5 peratus, mencerminkan kadar pengangguran bulanan akan kekal stabil atau dalam julat yang sempit tahun ini.

Katanya, ia dilihat seiring dengan kadar pengangguran kekal stabil antara 3.4 peratus dan 3.5 peratus dari Februari hingga Ogos 2023, selepas berkurangan daripada 4.2 peratus pada Januari 2022 kepada 3.6 peratus pada September 2022 hingga Januari 2023.

Loading...
Terkini