comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bilangan penganggur di Malaysia terus berkurangan

Bilangan tenaga buruh terus bertambah pada September – FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Bilangan penganggur pada September lalu menurun 0.6 peratus kepada 573,700 orang berbanding 577,300 orang pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM menerusi Perangkaan Tenaga Buruh, Malaysia, September dan Suku Ketiga 2023 yang dikeluarkan hari ini memaklumkan kadar pengangguran pada September kekal pada 3.4 peratus seperti bulan Ogos.

Mengulas mengenai perangkaan itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pada September, kedudukan tenaga buruh di Malaysia berada dalam aliran pertumbuhan positif dengan peningkatan kecil dalam bilangan pekerja, manakala penganggur terus berkurangan selari dengan perkembangan ekonomi semasa.

Justeru, beliau berkata bilangan tenaga buruh terus bertambah pada September dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 16.95 juta orang berbanding 16.93 juta orang pada bulan sebelumnya.

“Kadar penyertaan tenaga buruh (LFPR) kekal 70.1 peratus seperti yang direkodkan pada Ogos 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja terus bertambah pada September dengan sedikit peningkatan sebanyak 0.1 peratus merekodkan 16.38 juta orang berbanding Ogos yang mencatatkan 16.35 juta orang.

Beliau berkata, 75.3 peratus daripada jumlah penduduk bekerja itu adalah dalam kategori pekerja yang turut merekodkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus mencecah 12.33 juta orang pada September berbanding 12.32 juta orang pada bulan sebelumnya.

Dari segi sektor ekonomi, Mohd Uzir berkata sektor perkhidmatan terus menunjukkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja terutamanya aktiviti perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan makanan dan minuman, dan pengangkutan dan penyimpanan.

“Sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian, dan pertanian juga menunjukkan pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja pada bulan berkenaan,” katanya.

Bagi pengangguran belia berusia 15 hingga 24 tahun pula, Mohd Uzir berkata kadarnya menurun kepada 10.6 peratus dengan mencatatkan 310,100 orang pada September berbanding 10.8 peratus atau 309,200 orang pada Ogos. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini