comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kadar inflasi terus reda kepada 1.5 peratus pada November

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kadar inflasi Malaysia terus mereda kepada 1.5 peratus pada November 2023, lebih rendah berbanding 1.8 peratus pada bulan sebelumnya dengan mata indeks mencatatkan 130.9 berbanding 129.0 pada bulan sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kadar itu didorong oleh peningkatan perlahan restoran dan hotel pada 4.3 peratus berbanding 4.6 peratus pada Oktober 2023.

Katanya, diikuti makanan dan minuman bukan alkohol pada 2.6 peratus (Oktober 2023: 3.6 peratus) dan kesihatan, 2.3 peratus (Oktober 2023: 2.4 peratus).

“Selain itu, beberapa kumpulan utama yang menunjukkan peningkatan adalah perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, 1.7 peratus (Oktober 2023: 1.6 peratus) serta pengangkutan 0.1 peratus (Oktober 2023: 0.0 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata, kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran indeks harga pengguna (IHP) telah merekodkan peningkatan perlahan iaitu 2.6 peratus.

Katanya, komponen makanan di rumah meningkat 1.4 peratus berbanding 2.1 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya.

“Kenaikan komponen makanan di rumah adalah didorong terutamanya oleh subkumpulan beras, roti dan bijirin lain, 3.1 peratus (Oktober 2023: 3.6 peratus). Ini diikuti oleh subkumpulan susu, keju dan telur dan buah-buahan masing-masing meningkat 2.9 peratus dan 2.8 peratus.

“Sementara itu, komponen makanan di luar rumah mereda kepada 3.9 peratus berbanding 5.6 peratus yang direkodkan pada Oktober 2023. Antara item yang meningkat lebih rendah pada November 2023 adalah ayam goreng disebabkan oleh kesan strategi promosi oleh industri rangkaian makanan segera.

“Peningkatan inflasi subkumpulan beras, roti dan bijirin lain sebanyak 3.1 peratus pada November 2023 disumbangkan oleh kelas perbelanjaan beras yang mencatatkan peningkatan perlahan 4.7 peratus berbanding 5.3 peratus pada Oktober 2023.

“Produk beras import dan beras wangi import masing-masing mencatatkan peningkatan 10.1 peratus dan 7.0 peratus berbanding 9.6 peratus dan 7.5 peratus pada Oktober 2023,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini