comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kadar faedah tinggi dijangka perlahankan jualan kereta

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan bagi tahun depan mungkin terjejas disebabkan ketidaktentuan ekonomi dan kenaikan kadar faedah berterusan yang berkemungkinan menjejaskan kuasa beli pengguna.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Jim Lim Khai Xhiang, berkata walaupun tempahan tertunggak mungkin bertahan sehingga suku pertama 2023, jika reformasi duti eksais dilaksanakan tahun depan yang menyaksikan harga kereta lapan hingga 20 peratus lebih tinggi, ia bakal menjejaskan lagi jualan kenderaan.Turun naik ekonomi dan kenaikan kadar faedah yang ditambah dengan jangkaan pelaksanaan duti eksais baharu bakal menjejaskan jualan kenderaan tahun depan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Untuk tahun ini, Khai Xhiang berkata, RHB Investment Bank menjangkakan industri automotif tempatan bakal mencipta rekod baharu dengan jumlah keseluruhan industri (TIV) mencecah 700,000 unit.

“Kami meramalkan TIV mencecah 700,000 unit pada 2022 berbanding ramalan awal kami iaitu 650,000 unit.TIV setakat 10 bulan 2022 sudah mencecah 578,000 unit dan hanya memerlukan purata 60,000 unit dalam tempoh dua bulan terakhir untuk mencapai sasaran 700,000 unit.Bagi tempoh tiga bulan terakhir (Ogos hingga Oktober), purata jualan bulanan adalah 65,400 unit,” katanya.

Beliau menjelaskan, walaupun RHB Investment Bank menaikkan ramalan TIV, namun bank pelaburan itu mengekalkan saranan ‘neutral’ untuk sektor automotif.

“Berdasarkan tinjauan berhati-hati, kami berpendapat di sebalik pendaftaran kukuh dalam jangka masa terdekat, kebimbangan mengenai 2023 yang lebih perlahan boleh terus mempengaruhi sentimen sektor,” katanya.

Khai Xhiang berkata, jualan bulan ke bulan pada Oktober menyederhana namun momentumnya masih kekal kukuh.

“TIV Oktober menyederhana 10 peratus tetapi selepas penyelarasan TIV dengan mengetepikan kesan pelaporan suku tahun sesetengah pengeluar, TIV hanya menyederhana 4.5 peratus bulan ke bulan.TIV bulanan kekal teguh, didorong oleh pesanan tertunggak selama berbulan-bulan sejak Jun 2022 dan keadaan rantaian bekalan yang berkurangan,” katanya.

Bagi tempoh bulan dikaji, jualan Honda dan Proton yang masing-masing menyusut 19 peratus dan 14 peratus bulan ke bulan menerajui penurunan dengan kedua-dua pengeluar kembali ke paras normal daripada jualan Ogos dan September yang luar biasa kukuh.

Jualan PERODUA pula meningkat lima peratus bulan ke bulan, disumbangkan oleh jualan model Alza baharu.

Sementara itu, Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Daniel Wong berkata, firma itu menjangkakan TIV akan mencecah 700,000 unit atau 37.6 peratus lebih tinggi berbanding 2021 disokong penghantaran tempahan tinggi dalam dua bulan akan datang.

“Kami percaya pesanan tertunggak semasa untuk industri kekal kukuh pada lebih 250,000 unit.Walaupun jangkaan pemulihan TIV yang kukuh sehingga akhir tahun (disokong oleh tempahan tertunggak tinggi), kami masih mengekalkan saranan ‘neutral’ pada sektor itu, kerana menjangkakan TIV akan perlahan pada 2023,” katanya.

Penganalisis TA Securities, Angeline Chin pula berkata, firma penyelidikan itu mengekalkan unjran TIV 2022 kepada 640,000 unit dan 2023 sebanyak 546,600 unit.Industri automotif tempatan meneruskan momentum jualan positif apabila jumlah keseluruhan industri (TIV) bulanan kekal melebihi 60,000 unit yang dicapai sejak Ogos lalu pada Oktober.Meskipun prestasi jualan pada Oktober sedikit menurun kepada 61,002 unit, pencapaian itu masih kukuh menuju ke sasaran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) iaitu 630,000 unit.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022, industri automotif tempatan merekodkan TIV berjumlah 577,902 unit, hanya 52,098 unit untuk mencapai sasaran MAA.

Loading...
Terkini