comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jualan kereta PROTON terus meningkat

FOTO: NSTP

SUBANG JAYA: Pengeluar kereta nasional, PROTON meneruskan permulaan yang kukuh bagi tahun ini dengan menjual 52 peratus lebih kenderaan pada bulan Februari berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Dengan 14,033 unit merangkumi pasaran domestik dan eksport dijual bulan lalu, volum jualan adalah 20.1 peratus lebih tinggi daripada Januari, manakala untuk dua bulan pertama tahun ini, volum setakat tahun ini meningkat sebanyak 88 peratus kepada 25,714 unit.

Pegangan pasaran syarikat untuk bulan itu dianggarkan mencapai 22.7 peratus, meletakkannya di tempat kedua dalam pasaran, dan mencatatkan peningkatan sebanyak 7.3 peratus berbanding bulan Februari 2022.

Secara keseluruhan, jualan kereta di Malaysia terus melonjak untuk bulan kedua berturut-turut dengan anggaran jumlah keseluruhan volum industri (TIV) sebanyak 62,300 unit kerana industri automotif berkejar untuk memenuhi tempahan semasa tempoh pengecualian cukai jualan sebelum tarikh akhir 31 Mac.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah, berkata permulaan yang kukuh bagi pengeluar kereta nasional itu pada tahun ini mencerminkan populariti tawaran model semasa syarikat.

“Sama seperti pesaing kami, banyak volum didorong oleh pemenuhan tempahan yang dikecualikan cukai, tetapi jumlah tempahan baharu kekal sihat, jadi kami berharap dapat meneruskan trajektori pertumbuhan jualan untuk sepanjang tahun ini.

“Dalam beberapa bulan akan datang, PROTON juga akan membuat beberapa pengumuman untuk membentuk hala tuju syarikat untuk tahun 2023 dan seterusnya. Ini tahun yang sibuk kerana kami mewujudkan kehadiran dalam segmen baharu, memasuki pasaran kenderaan tenaga baharu (NEV) dan melangkah ke depan dalam usaha EV kami apabila jualan kenderaan smart #1 bermula,” katanya dalam satu kenyataan. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini