comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kadar pengangguran kekal pada 3.5 peratus pada Mac

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran kekal 3.5 peratus pada Mac berbanding Februari, dengan bilangan penganggur lebih rendah iaitu 588,700 berbanding 591,900 orang, demikian mengikut perangkaan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kedudukan ekonomi yang optimis pada Mac 2023 telah membolehkan pasaran buruh negara terus berkembang dengan stabil.

Justeru, beliau berkata, bilangan tenaga buruh pada Mac 2023 terus mengukuh sebanyak 0.2 peratus merekodkan 16.81 juta orang berbanding 16.78 juta orang pada Februari 2023.

“Kadar penyertaan tenaga buruh pada Mac kekal pada 69.9 peratus (Februari 2023: 69.9 peratus). Kedudukan tenaga buruh yang semakin baik pada bulan berkenaan adalah berikutan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur terus menurun.

“Bilangan penduduk bekerja pada Mac 2023 berada pada trend menaik, dengan peningkatan 0.2 peratus kepada 16.22 juta orang (Februari 2023: 16.19 juta orang),” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut mengenai kedudukan guna tenaga, Ketua Perangkawan berkata, daripada jumlah penduduk bekerja pada Mac 2023, 75.6 peratus adalah dalam kategori pekerja.

Beliau berkata, kategori itu mencatatkan kenaikan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus merekodkan 12.26 juta orang (Februari 2023: 12.25 juta orang).

“Pada masa sama, bilangan penduduk bekerja sendiri juga meningkat sebanyak 0.6 peratus kepada 2.91 juta orang (Februari 2023: 2.89 juta orang),” katanya.

“Dari segi sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus mencatatkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan & minuman; dan aktiviti pentadbiran & khidmat sokongan.

“Trend yang sama juga dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian,” katanya.

Loading...
Terkini