comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Keputusan kadar faedah AS penentu kestabilan saham, ringgit

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Keputusan yang bakal diambil oleh bank pusat Amerika Syarikat (AS), Rizab Persekutuan (Fed) berkaitan kadar faedah pada minggu ini akan menjadi penentu kepada kestabilan pasaran saham dan ringgit, kata penganalisis.

Pelabur masih terus menunggu kejelasan mengenai dasar Fed yang dijangka keputusannya akan diketahui esok selepas mesyuarat selama dua hari bermula hari ini.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata sehingga menunggu keputusan Fed itu, pasaran saham akan tidak menentu dan mata wang tempatan dijangka terus menyusut.

Beliau berkata, berdasarkan data ekonomi semasa AS seperti penurunan kadar pengangguran, kadar inflasi negara itu akan terus meningkat, memungkinkan bank pusat itu untuk sekali lagi menaikkan kadar faedahnya.

“Justeru, pelabur yang kini berpegang kepada dolar AS sebagai pegangan selamat pasti akan terus menunggu tindakan susulan Fed yang sekiranya berlaku bakal menambahkan keuntungan.

“Namun, jika kadar faedahnya tidak dinaikkan, dolar AS akan sedikit menyusut kerana kadar faedah bon perbendaharaan AS sudah pun tinggi.

“Jelas, ini akan memberikan kesan negatif kepada Malaysia secara umumnya kerana aliran pasaran modal tertumpu kepada AS dan tidak kepada bursa saham negara membangun lain seperti Malaysia,” katanya.

Aimi Zulhazmi berkata, ringgit juga pada masa sama dijangka terus melemah sementara menunggu keputusan Fed itu.

Beliau bagaimanapun berkata, mata wang asing lain juga turut seiring melemah dengan peningkatan nilai dolar AS.

Loading...
Terkini