comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan, CPOPC mahu perluas maklumat sawit kepada dunia

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersama-sama Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) sedang berbincang mengenai kaedah untuk memperjelas serta memperluas maklumat industri sawit Malaysia dan Indonesia kepada global.

Menerusi hantaran di media sosial X hari ini, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan bahawa beliau telah menerima kunjungan hormat daripada CPOPC untuk mengukuhkan kerjasama dan mengadakan perbincangan bagi manfaat industri sawit Malaysia dan Indonesia.

Malaysia dan Indonesia mempunyai standard begitu tinggi dalam pengeluaran minyak sawit, katanya.

Justeru, beliau berkata usaha bersama CPOPC itu merupakan antara strategi untuk mempromosikan industri sawit Malaysia bagi menjadikan minyak sawit sebagai pilihan utama masyarakat dunia seterusnya mengetahui mengenai kebaikan serta manfaat minyak sawit.

Johari berkata, pengeluaran minyak sawit amat penting bagi ekonomi Malaysia.

“Seperti yang kita maklum, Malaysia merupakan pengeluar sawit nombor dua terbesar di dunia selepas Indonesia,” katanya.

Isnin lalu, beliau turut menerima kunjungan Duta Mesir di Malaysia, Ragai Tawfik Nasir, di pejabatnya selain membincangkan kerjasama ekonomi dalam sektor sawit antara Malaysia dan Mesir semasa pertemuan itu.

Beliau berkata, kedua-dua pihak juga sedang mengkaji perkongsian bagi strategi pemasaran produk sawit dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan kerjasama peserta swasta di kedua-dua negara.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) merancang untuk menjadikan Mesir sebagai bahagian penting dalam mengembangkan eksport minyak sawit Malaysia ke benua Afrika menerusi Zon Ekonomi Terusan Suez, katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini