comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Keuntungan bersih Petronas Chemicals susut kepada RM6.32 bilion

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) mencatat keuntungan bersih lebih rendah pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022 (TK22) kepada RM6.32 bilion daripada RM7.35 bilion pada tahun sebelumnya susulan penurunan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA).

Prestasi itu itu turut dijejaskan oleh penyusutan bahagian keuntungan daripada usaha sama serta entiti sekutu, kata PCG dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pengeluar bahan kimia bersepadu itu berkata EBITDA susut sebanyak RM198 juta atau dua peratus kepada RM8.1 bilion yang disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan operasi.

Perolehan hasilnya bagaimanapun melonjak 26 peratus kepada RM28.95 bilion daripada RM23.03 bilion sebelumnya, berikutan peningkatan harga produk, penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta sumbangan hasil Perstorp Holding AB susulan pengambilalihannya pada Oktober 2022.

Pendapatan asas sesaham (EPS) berada pada 79 sen berbanding 92 sen dalam tahun sebelumnya.

Bagi suku keempat tahun kewangan 2022, keuntungan bersih PCG merosot kepada RM481 juta daripada RM2.06 bilion setahun sebelumnya manakala hasil meningkat kepada RM8.7 bilion berbanding RM6.98 bilion sebelum ini. — BERNAMA

Loading...
Terkini