comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

KSP RMK12: Perancangan yang inklusif, menyeluruh

KUALA LUMPUR: Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini adalah satu perancangan yang inklusif dan mencakupi kepentingan semua pihak, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata usul yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut mengusulkan cadangan baharu untuk memperkuatkan dan mengukuhkan lagi ekonomi negara.

“Dari perspektif MITI, banyak isu yang telah dibangkitkan pada masa yang tepat,” katanya kepada media pada Sidang Kemuncak Kelestarian Bumi Lebih Sejuk 2023 dua hari yang dianjurkan CIMB bermula hari ini, di sini.

Beliau berkata mengambil contoh sektor elektrik dan elektronik, apakah tindakan selanjutnya yang harus dilakukan kerajaan dalam memperkukuh industri yang ekonomi kompleksiti lebih tinggi.

Selain itu, isu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pendidikan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan (STEM) iaitu dari segi bakat juga diambilkira, katanya.

“Kita perlu fokus kepada melahirkan lebih ramai bakat baharu, serta perlu menerapkan minat pelajar dalam bidang STEM.

“Jadi oleh itu, untuk masa sekarang saya pun sedang mendalami sedikit apa yang perlu dibuat,” katanya.

KSP RMK12 bermatlamatkan “Malaysia MADANI: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi” yang memperkenalkan 17 anjakan utama sebagai pemangkin utama melalui 71 strategi dan inisiatif utama bagi menghasilkan keberhasilan yang disasarkan.

Anwar berkata anjakan bermula dengan menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah asas prasarana dan keperluan asas rakyat termasuk memperbaiki sekolah dan klinik daif, menjamin bekalan air bersih, serta meneraju ekonomi Islam.

Loading...
Terkini