comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kurang minat belian, Bursa Malaysia ditutup rendah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan aliran menurunnya untuk ditutup rendah sedikit hari ini berikutan ketiadaan minat belian dalam persekitaran prestasi pasaran serantau yang bercampur-campur.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.75 mata kepada 1,456.92 daripada paras penutup 1,456.92 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks utama itu dibuka rendah turun 0.41 mata kepada 1,460.26 dan dibuka rendah 1,454.12 pada sesi awal dagangan pagi.

Keseluruhan pasaran positif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 499 berbanding 395, manakala 457 kaunter tidak berubah, 1,023 tidak diniagakan manakala sembilan kaunter yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 3.23 bilion unit bernilai RM1.70 bilion daripada 3.27 bilion unit bernilai RM1.89 bilion pada Jumaat.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata pasaran serantau dalam aliran bercampur-campur kerana pelabur mengambil sikap berhati-hati menjelang minit mesyuarat terbaharu daripada mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada akhir Oktober yang dijadualkan berlangsung pada Selasa.

Di peringkat tempatan, beliau berkata pelabur kekal berhati-hati untuk membuat langkah penting, memandangkan ketiadaan insentif pembelian yang menarik mengelilingi sentimen pasaran semasa yang dipertingkatkan oleh risiko pasaran global dan tidak menentu.

“Bagaimanapun, aktiviti belian saham pada harga rendah mungkin berlaku disebabkan penilaian indeks penanda aras merosot,” katanya kepada Bernama. – BERNAMA

Loading...
Terkini