comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Labuan, Kedah antara negeri eksport meningkat bulan lalu

PUTRAJAYA: Sebahagian besar negeri mencatatkan penurunan nilai eksport pada Ogos 2023 kecuali Labuan yang merekodkan peningkatan sebanyak RM719.1 juta, Kedah (RM431.3 juta) dan Negeri Sembilan (RM246.8 juta), demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata prestasi eksport Malaysia pada Ogos 2023 bernilai RM115.2 bilion, merosot sebanyak 18.6 peratus atau RM26.4 bilion berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata, penurunan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (-RM9.1 bilion), Johor (-RM7.9 bilion), Selangor (-RM3.6 bilion), Sarawak (-RM2.7 bilion), Kuala Lumpur (-RM2.5 bilion), Melaka (-RM607.1 juta), Sabah (-RM484.8 juta), Kelantan (-RM253.5 juta), Terengganu (-RM191.6 juta), Perak (-RM124.7 juta), Pahang (-RM86 juta) dan Perlis (-RM26 juta).

“Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 28.8 peratus, diikuti oleh Johor (22.1 peratus), Selangor (18.4 peratus), Sarawak (7.9 peratus) dan Kedah (4.2 peratus),” katanya dalam satu kenyataan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri Ogos 2023 yang diterbitkan DOSM, hari ini.

Beralih kepada import mengikut negeri, Mohd Uzir berkata prestasi pada Ogos 2023 turut merosot RM26.4 bilion atau 21.2 peratus berbanding bulan yang sama pada 2022.

Katanya, penurunan disebabkan oleh import yang lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Johor (-RM12.2 bilion), Pulau Pinang (-RM6.2 bilion), Selangor (-RM4.2 bilion), Negeri Sembilan (-RM1.2 bilion), Kuala Lumpur (-RM721.2 juta), Pahang (-RM402.3 juta), Kedah (-RM348 juta), Labuan (-RM347.1 juta), Sabah (-RM257.0 juta), Melaka (-RM237.1 juta), Perak (-RM190 juta), Sarawak (-RM63.7 juta), Perlis (-RM15.8 juta) dan Kelantan (-RM6.1 juta).

Walau bagaimanapun, katanya nilai import meningkat di Terengganu sebanyak RM188.1 juta.

“Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan 27.7 peratus, diikuti oleh Johor (21.1 peratus), Pulau Pinang (21.1 peratus), Kuala Lumpur (7.1 peratus) dan Kedah (5.9 peratus).

Secara keseluruhan, Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM213 bilion pada Ogos 2023 dengan nilai eksport RM115.2 bilion dan import bernilai RM97.9 bilion.

Lebihan dagangan Malaysia meningkat 0.1 peratus tahun ke tahun kepada RM17.3 bilion pada bulan lalu, manakala 10 negeri mencatatkan lebihan dagangan iaitu Pulau Pinang, Sarawak, Johor, Sabah, Labuan, Pahang, Terengganu, Perak, Kelantan dan Perlis.

Loading...
Terkini