comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Langkah proaktif kerajaan bantu ekonomi berkembang pantas

KUALA LUMPUR: Pelbagai langkah proaktif kerajaan mempercepat peralihan ekonomi negara daripada fasa pemulihan kepada pengukuhan, demikian menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata, pemulihan ekonomi bukan sahaja diterjemahkan menerusi pertumbuhan ekonomi yang semakin mengukuh, malah turut ditunjukkan oleh peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan sosial masyarakat.

“Pembukaan semula sempadan antarabangsa negara dan peralihan Malaysia ke fasa endemik pada 1 April 2022 memberi impak positif terhadap persekitaran sosio ekonomi negara. Ini dicerminkan melalui pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri.

Kasar (KDNK) yang melonjak kepada 8.7 peratus berbanding 3.3 peratus pada tahun 2021, menjadikannya prestasi terbaik selepas 2000.

Pembukaan semua aktiviti ekonomi khasnya industri berkait pelancongan turut mendorong pengukuhan ekonomi negara.

Kebenaran rentas negeri serta pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh kerajaan bagi memulih industri pelancongan yang terjejas sejak dua tahun lalu telah menggalakkan pelancongan domestik negara.

“Ia dapat dilihat melalui prestasi pelancongan domestik yang memulih secara luar biasa dengan mencatatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM64.1 bilion berbanding RM18.4 bilion pada 2021, iaitu peningkatan sebanyak 248.1 peratus,” katanya dalam Laporan Sosioekonomi Negeri 2022 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).Laporan itu juga dilihat menepati sasaran Ekonomi MADANI yang mahu menjadikan Malaysia antara ekonomi berprestasi tinggi di dunia.

Ekosistem ekonomi negara yang semakin pulih turut diperlihatkan melalui prestasi yang berkembang lebih baik di semua negeri berbanding tahun sebelumnya.

Empat negeri menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan pertumbuhan KDNK melebihi nasional iaitu Pulau Pinang (13.1 peratus), Selangor (11.9 peratus), Pahang (10.8 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (9.2 peratus).

Beliau menjelaskan, persekitaran ekonomi negara yang memberangsangkan juga meningkatkan tahap keyakinan pelabur untuk melabur di negara ini.

“Lima negeri merekodkan aktiviti pelaburan yang tertinggi, didahului oleh Johor dengan nilai pelaburan diluluskan sebanyak RM70.6 bilion. Ini diikuti oleh Selangor (RM60.1 bilion), Sarawak (RM28.2 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM25 bilion) dan Pulau Pinang (RM16.3 bilion),” katanya.

Mohd Uzir berkata, pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan juga dapat dilihat dengan peningkatan jumlah dagangan kepada RM2.8 trilion tahun lalu berbanding RM2.2 trilion pada tahun sebelumnya, dengan nilai eksport dan import masing-masing berjumlah RM1.6 trilion dan RM1.3 trilion.

“Ini mendorong prestasi eksport yang baik di Pulau Pinang (30.3 peratus), Selangor (8.8 peratus) dan Kedah (36.1 peratus),” katanya.

Loading...
Terkini