comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

LHDN sedia portal percuma bagi membantu PMKS daftar E-Invois

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Abu Tariq.

Oleh: Amanda Lopez

CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan menyediakan kemudahan bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam pelaksanaan program e-invois termasuk satu portal percuma.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abu Tariq berkata bagi PMKS, sebenarnya mempunyai masa yang secukupnya untuk meningkatkan pemahaman mereka mengenai penyediaan e-invois.

“Perusahaan kecil ini sebenarnya akan bermula Julai 2025. Justeru, kita masih ada tempoh setahun. Pihak LHDN akan sediakan segala kemudahan bagi membantu pengusaha kecil ini. Antaranya kita ada portal yang percuma. Apa yang penting adalah untuk kita beri pendidikan sebenarnya bagaimana mereka boleh menggunakan kemudahan yang ada ini.” katanya ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Hari Raya LHDN 2024 di sini, hari ini.

“Pada ketika ini, kita tidak ada cadangan lagi untuk memberi lanjutan masa tetapi lebih untuk memberi pendidikan dan pendedahan kepada mereka bagaimana mereka boleh turut serta dalam e-invois ini. Kita ada banyak program yang kita rancang di seluruh negara. Semua pejabat kita di seluruh negara akan terlibat dalam program ini.”

Katanya, portal yang disediakan secara percuma ini boleh digunakan pembayar cukai atau pengusaha yang ingin mengemukakan e-invois .

Justeru, tidak ada keperluan untuk menyediakan sistem yang khusus bagi PMKS.

Untuk syarikat besar yang berpendapatan lebih RM100juta pula, mereka ada pilihan untuk membangunkan sistem e-invois mereka sendiri.

Penguatkuasaan e-invois kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta bemula 1 Ogos 2024.

Pembayar cukai mengikut kategori pendapatan selainnya akan dibuat secara berfasa dengan sasaran pelaksanaan menyeluruh mulai 1 Julai 2025.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini