comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MAHB catat lebih 11 juta pergerakan penumpang pada Julai

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) merekodkan lebih daripada 11 juta jumlah pergerakan penumpang untuk Julai 2023, dengan kedua-dua operasi Malaysia dan Turkiye mencatatkan pergerakan penumpang tinggi baharu, masing-masing 7.4 juta dan 3.7 juta.

Pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik juga merekodkan jumlah tertinggi setakat ini bagi 2023, dengan 5.4 juta penumpang antarabangsa dan 5.7 juta penumpang domestik.

“Ini mewakili 89 peratus dan 87 peratus, masing-masing untuk jumlah penumpang antarabangsa dan domestik berbanding tempoh yang sama pada 2019, sekali gus menandakan kemajuan yang konsisten ke arah pemulihan penuh jumlah sebelum pandemik melanda, katanya dalam satu kenyataan.

MAHB berkata pergerakan penumpang antarabangsa di Malaysia pada Julai 2023 meningkat hampir 10 peratus kepada 3.5 juta penumpang daripada 3.2 juta penumpang bulan sebelumnya sementara pergerakan penumpang domestik berjumlah 3.9 juta penumpang, peningkatan dua peratus daripada 3.8 juta penumpang pada Jun 2023.

Pertumbuhan daripada kedua-dua sektor antarabangsa dan domestik disumbangkan oleh cuti sekolah tempatan pada akhir bulan Julai, cuti musim panas di Hemisfera Utara, kedatangan semula pengembara China secara beransur-ansur, kepulangan jemaah haji, operasi syarikat penerbangan baharu dan kekerapan penerbangan tambahan.

Bulan lalu, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) mengalu-alukan Salam Air dari Muscat dengan dua penerbangan setiap minggu, manakala AirAsia X memperkenalkan penerbangan ke Chengdu tiga kali seminggu dan MYAirline ke Bangkok Don Mueang dengan tujuh penerbangan setiap minggu dari KLIA.

Batik Air Malaysia juga telah memulakan dua laluan baharu, iaitu dua kali seminggu ke Adelaide dan empat penerbangan seminggu ke Chengdu.

Sementara di Sabah dan Sarawak, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) mengalu-alukan dua syarikat penerbangan baharu, Loong Air dari Xi’An Xianyang dengan dua penerbangan setiap minggu dan Shanghai Airlines dari Shanghai PuDong dengan tujuh penerbangan setiap minggu.

AirAsia pula menyambung semula perkhidmatan Beijing Daxing dengan tujuh penerbangan mingguan dan Macau dengan dua penerbangan mingguan. Batik Air Malaysia menyambung semula rangkaian Chinanya dengan penerbangan terus dari KKIA dan Langkawi ke Chengdu sekali seminggu.

Loading...
Terkini