comscore
Tumpuan :
Nasional

MAHB, MKN & PDRM bincang ketatkan keselamatan di lapangan terbang 

KUALA LUMPUR: Susulan insiden tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 yang berlaku awal pagi kelmarin, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat.

Pertemuan itu dijangka bagi membincangkan langkah perlu untuk mengetatkan aspek keselamatan di lapangan terbang di Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata sebarang perubahan prosedur operasi standard (SOP) memerlukan perbincangan lanjut antara pihak berkaitan sebelum sebarang keputusan diambil.

“Sebarang perubahan memerlukan perbincangan lanjut. Kita akan dapatkan nasihat PDRM untuk tingkatkan aspek keselamatan di lapangan terbang,” katanya kepada media selepas melancarkan stesen pengecas EVlution di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian jam 1.20 pagi itu, beberapa das tembakan yang dilepaskan suspek dikenali sebagai Hafizul Hawari, 38 menggemparkan orang ramai di balai ketibaan terletak di aras tiga KLIA.

Suspek dipercayai cuba menembak isterinya dengan menggunakan sepucuk pistol ketika wanita itu menunggu jemaah umrah pulang dari Tanah Suci di Balai Ketibaan Antarabangsa bersama dua pengawal peribadi.

Berhubung penggunaan pengimbas di pintu masuk lapangan terbang, Loke berkata, ia belum diputuskan kerana setiap tindakan memerlukan perbincangan antara MAHB dan PDRM.

“Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memberi ruang kepada MAHB dan PDRM berbincang kerana ia membabitkan perubahan operasi di lapangan terbang.

“Saya yakin PDRM akan memberikan nasihat dan cadangan untuk langkah keselamatan lebih baik di lapangan terbang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini