comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia menjadi pasaran tumpuan syarikat ASEAN kembangkan perniagaan

Ketua Perbankan Komersial HSBC Malaysia, Karel Avni Doshi (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Datuk Omar Siddiq (kanan) semasa taklimat media Dana Pertumbuhan ASEAN HSBC di Menara IQ, Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur. Foto: NSTP

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Syarikat dari enam negara ASEAN memilih Malaysia sebagai pasaran tumpuan untuk mengembangkan syarikat, selepas Singapura, tahun ini.

Ketua Perbankan Komersial, HSBC Malaysia, Karel Avni Doshi berkata ini berdasarkan kajian HSBC yang melibatkan 600 syarikat di Malaysia, Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

“59 peratus responden memilih untuk mengembangkan perniagaan mereka di ASEAN sebagai keutamaan utama mereka, dengan 95 peratus memilih Asia Pasifik sebagai destinasi utama,” katanya selepas taklimat media mengenai Dana Pertumbuhan ASEAN HSBC hari ini.

Jelas beliau, daripada ini, Singapura menjadi  pilihan teratas dengan 80 peratus, diikuti Malaysia pada 77 peratus, Indonesia 64 peratus, Thailand 59 peratus, dan China 48 peratus, sebagai fokus pasaran untuk perniagaan mereka tahun ini.

“Salah satu perkara yang kami fikir akan beri manfaat ialah perkongsian awam dan swasta, itu adalah salah satu perkara yang akan membantu mempercepatkan pertumbuhan untuk meletakkan Malaysia di peringkat atas. Malaysia juga merupakan Pengerusi ASEAN 2025 dan kita mempunyai peranan penting yang meletakkan kita dalam kedudukan yang sangat kukuh,” tambah beliau.

Dalam pada itu, HSBC mengumumkan Dana Pertumbuhan ASEAN AS$1 bilion dalam enam negara ASEAN untuk membantu meningkatkan pemain platform dalam ekonomi digital yang berkembang pesat di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, HSBC Malaysia, Datuk Omar Siddiq berkata Dana Pertumbuhan ASEAN HSBC menyediakan pinjaman kepada syarikat yang sedang meningkat melalui platform digital di seluruh Asia Tenggara.

“Ia menyokong ekonomi baharu, korporat yang lebih mantap, dan institusi kewangan bukan bank dengan menilai metrik operasi terikat pada portfolio aset penjanaan aliran tunai mereka, dan bukannya bergantung semata-mata pada metrik kewangan tradisional,” katanya.

Menurut laporan Bain & Company, ekonomi digital Asia Tenggara adalah antara yang paling pesat berkembang di dunia, bernilai AS$218 bilion pada 2023 dan dijangka mencecah AS$600 bilion menjelang akhir dekad ini pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 16 peratus.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini