comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MHB, Shizen International teroka projek fotovoltan di Perak

Saarani (tiga dari kanan) menyaksikan Syed Agil (empat dari kanan) bertukar dokumen MoU bersama Ushikubo – FOTO: Ihsan MHB

KUALA LUMPUR: Majuperak Holdings Bhd (MHB) dengan kerjasama Shizen International Inc (Shizen International) akan meneroka pembangunan projek fotovoltan solar di Perak yang bertujuan memperluas penggunaan tenaga bersih.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pembangunan projek ini berkemungkinan dilaksanakan di atas daratan dan kawasan air.

“Kerjasama ini berlandaskan dua matlamat iaitu meneroka pembangunan projek fotovoltan solar di atas darat dan menilai potensi kawasan air yang sesuai untuk projek fotovoltan terapung di Perak.

“Ini juga sejajar dengan kesungguhan Perak untuk membangunkan teknologi hijau dan usaha untuk menarik pelaburan menerusi Program Flagship 12: Sumber Air dan Sumber Tenaga Boleh Baharu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan MHB hari ini.

Terdahulu, satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Syed Agil Syed Hashim bersama Ketua Pegawai Eksekutif Shizen International, Rei Ushikubo.

Pemeteraian itu disaksikan oleh Saarani dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) merangkap Pengerusi Eksekutif MHB, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

Saarani berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka serta mengalu-alukan kedatangan mana-mana syarikat dari dalam dan luar negara yang berminat melabur di Perak.

Sementara itu, Redza Rafiq berkata pihaknya menyambut baik kerjasama bersama Shizen International yang sememangnya berpengalaman luas dalam bidang itu di peringkat antarabangsa.

“Kami mengunjurkan kemajuan besar dicapai daripada MoU ini kerana kami bersedia sepenuhnya untuk menggiatkan penjanaan tenaga boleh baharu di Perak,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu juga sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang berusaha meningkatkan penjanaan tenaga lestari di negara ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini