comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

BNM dijangka elak guna OPR bagi sokong nilai ringgit

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Mesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk 2023 pada Khamis ini akan menjadi perhatian, terutama dengan tekanan yang diterima daripada keputusan diambil oleh bank pusat di Indonesia dan Filipina baru-baru ini untuk menaikkan kadar faedah bagi menyokong mata wang negara masing-masing.

Bagaimanapun, penganalisis menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengelak untuk menaikkan kadar faedah bagi menyokong mata wang tempatan, sekali gus mengekalkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang berada pada 3.0 peratus sejak Julai lalu.

Maybank Investment Bank (Maybank IB) dalam satu nota penyelidikan berkata, di sebalik kenaikan yang diumumkan oleh Bank Indonesia (BI) dan Bangko Sentral ng Pilipinas (BSP), OPR berkemungkinan besar akan dikekalkan pada 3.0 peratus apabila MPC mengumumkan keputusan dasarnya pada Khamis ini.

“Berdasarkan nada pernyataan (BNM), kami menjangkakan MPC akan terus menganggap pendirian dasar monetari sebagai menyokong ekonomi dan konsisten dengan pertumbuhan serta keadaan inflasi semasa, sambil menggunakan kaveat seperti kebiasaan untuk memantau perkembangan sedia ada,” kata bank pelaburan itu.

Jangkaan BNM akan mengekalkan OPR pada mesyuarat terakhir 2023 juga adalah bersandarkan kepada kemungkinan bahawa bank pusat AS, Rizab Persekutuan (Fed) akan turut mengekalkan lagi kadar tidak berubah pada 5.25 hingga 5.50 peratus dua kali berturut-turut semasa mesyuarat dasarnya minggu ini, seperti unjuran konsensus.

Ia berkata, kenyataan yang bakal dikeluarkan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dijangka memperakui perangkaan luar jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pekerjaan suku ketiga 2023 yang mantap.

Bagaimanapun, Maybank IB berkata unjuran itu juga dibuat di tengah-tengah petunjuk bahawa inflasi di AS masih kekal tinggi berbanding sasaran dua peratus, meskipun terdapat kemajuan yang ditunjukkan hasil daripada kenaikan kadar sebelum ini.

“Gabungan data makro yang mantap itu bermakna bahawa Fed dengan jelas mahu meneruskan lagi panduan supaya ada lagi tambahan kenaikan kadar, walaupun tiada kemas kini kepada rumusan unjuran ekonomi dalam mesyuarat kali ini,” katanya.

BNM mengekalkan OPR pada 3.0 peratus sejak Julai lalu, yang meletakkannya pada diskaun tertinggi berbanding ambang teratas kadar dana persekutuan AS, menjadikannya kurang menarik kepada pelabur yang memegang dolar untuk membeli aset-aset dalam denominasi ringgit.

Loading...
Terkini