comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Tekanan terhad untuk naikkan harga jualan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd menjangkakan tekanan yang terhad ke atas pengeluar tempatan untuk menaikkan harga jualan akan datang, memandangkan inflasi Indeks Harga Pengeluar (IHPR) masih kekal di bawah inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP).

Penyelidikan MIDF menjelaskan bagaimanapun pihaknya menjangkakan harga komoditi yang tinggi akan terus mempengaruhi tekanan kos dalam sektor utama dan harga bahan mentah.

“Selain itu, kami berpendapat bahawa kesan daripada ringgit yang lemah dan inflasi harga makanan global juga akan membawa kepada inflasi import yang lebih tinggi bagi beberapa bulan akan datang.

“Memandangkan inflasi yang berkurangan dan pertumbuhan sederhana, kami menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman tidak berubah pada 3.0 peratus buat masa ini dengan penekanan yang lebih besar untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam nota penyelidikan pada Jumaat.

Harga pengeluar Malaysia mencatatkan inflasi pertama dalam tempoh lapan bulan, meningkat sebanyak 0.2 peratus tahun ke tahun pada September 2023, susulan inflasi IHPR dalam sektor perlombongan, yang meningkat pada 6.9 peratus tahun ke tahun, inflasi pertama sektor itu untuk tahun ini.

Menurutnya, begitu juga kos pengeluaran mendorong kepada inflasi untuk pertanian, perhutanan dan perikanan selain bekalan elektrik, gas dan air.

“Sebaliknya, kos pengeluaran bagi sektor pembuatan, komponen terbesar dalam indeks, terus menurun sebanyak 0.8 peratus tahun ke tahun, namun merupakan penurunan paling perlahan dalam penguncupan selama lima bulan,” tambahnya.

— BERNAMA

Loading...
Terkini