comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

OPR kekal isyarat jelas Malaysia utamakan pertumbuhan ekonomi

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Keputusan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak berubah walaupun inflasi stabil dan sederhana adalah isyarat jelas bahawa Malaysia mengutamakan pertumbuhan berbanding mata wang, kata Ketua Ahli Ekonomi Oxford Economics, Sunny Liu.

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan OPR pada paras 3.00 peratus sejak Mei 2023 meskipun ringgit baru-baru ini mencecah paras rendah dalam tempoh 26 tahun pada RM4.80 berbanding dolar AS.

Katanya, keutamaan dasar terhadap pertumbuhan itu memperlihatkan kesan negatif mata wang yang lemah adalah terhad kepada negara ini.

“Contohnya, Malaysia tidak banyak mengalami inflasi yang diimport dan pembayaran hutang asing yang lebih mahal,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Dari segi inflasi yang diimport, Liu berkata, kadar pertukaran dilepaskan melalui harga domestik adalah terhad, dengan inflasi Malaysia kekal rendah pada 1.5 peratus.

Beliau berkata, ia berikutan import barangan untuk kegunaan domestik adalah agak rendah iaitu hanya kira-kira 25 peratus daripada jumlah barangan import.

Katanya, kebanyakan import adalah untuk barangan perantara bagi pasaran luar.

Dari segi peningkatan kos pembayaran hutang asing, Liu berkata, ia secara relatifnya adalah tinggi iaitu kira-kira 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi hanya satu pertiga didenominasikan dalam mata wang asing.

Beliau berkata, pendedahan itu sama ada kebanyakannya lindung nilai atau tergolong dalam peminjaman antara syarikat dan antara bank yang agak stabil.

“Dalam konteks ini, tidak menghairankan bahawa kebimbangan bank pusat mengenai pertumbuhan ekonomi mengatasi kebimbangannya terhadap mata wang yang lemah.

“Hasilnya, kami menjangkakan BNM mengekalkan pendirian dasar yang longgar dan kekal bertolak ansur dengan ringgit yang lemah,” katanya.

Perkembangan di Malaysia itu, kata Liu berbeza dengan Indonesia apabila bank pusatnya, Bank Indonesia (BI) pada Rabu lalu memutuskan untuk menaikkan kadar dasar sebanyak 25 mata asas kepada 6.25 peratus.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini