comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pemain industri 5G boleh pilih sertai Entiti A atau B — Fahmi

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada majlis menandatangani MoU antara TM dan ZTE.

Oleh Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Pengendali rangkaian mudah alih (MNO) boleh memilih untuk menyertai Entiti A atau Entiti B dalam melaksanakan perkhidmatan 5G di bawah model dwirangkaian.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bagaimanapun berkata proses itu akan tertakluk kepada kelulusan kerajaan.

“MNO akan menilai dan kembali kepada kerajaan tentang siapa yang akan berada dalam entiti mana. Kami menyerahkan kepada industri untuk membuat keputusan sesama mereka tetapi kabinet telah memutuskan bahawa proses itu bukan sahaja akan dibimbing tetapi bergantung pada kelulusan kerajaan,” katanya kepada media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Telekom Malaysia Bhd (TM) dan ZTE Malaysia Corporation Sdn Bhd (ZTE).

MoU itu adalah untuk bekerjasama dalam pelbagai inovasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) di bawah program perkongsian strategik terkini.

Tambah Fahmi, pada masa yang sama, kerajaan menerusi Pasukan Petugas 5G kerap mengadakan libat urus untuk mempercepatkan liputan rangkaian 5G negara, selain berkaitan pegangan saham Digital Nasional Bhd (DNB).

Ia dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

“Mereka bermesyuarat secara kerap termasuk hari ini untuk berbincang dengan MNO, pertama mengenai pelancaran 5G dan kedua adalah mengenai persoalan ekuiti,” katanya.

Ditanya mengenai penarikan perjanjian langganan saham (SSA) DNB oleh CelcomDigi Bhd dan TM, Fahmi menjelaskan langkah itu dibuat selari dengan peralihan kepada model dwirangkaian tahun depan menerusi Entiti A oleh DNB serta Entiti B.

“Perbincangan mengenai ekuiti masih diteruskan tetapi dengan parameter yang berbeza. Sebelum ini adalah untuk mengambil bahagian dalam DNB sahaja. Manakala sekarang untuk mengambil bahagian dalam DNB (Entiti A). Apabila Entiti B dibentuk, beberapa MNO akan kekal pada Entiti A, di mana DNB akan diteruskan dan beberapa MNO akan bersama Entiti B,” jelas beliau.

Bagaimanapun dilaporkan, DNB akan dilepaskan kepada entiti swasta selepas rangkaian 5G mencapai 80 peratus liputan kawasan berpenduduk.

Tambah Fahmi, perbincangan mengenai syarikat yang akan mengambil alih DNB masih belum bermula.

Loading...
Terkini