comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

Filem kisah kepolisan dan ketenteraan dianggap ‘new wave’ industri filem Malaysia

Fahmi (lima dari kiri) bersama penerima anugerah pencapaian filem di peringkat antarabangsa pada Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia Tahun 2023 di Putrajaya, kelmarin. – FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Fenomena dicetuskan dua filem, Polis Evo 3 dan Malbatt: Misi Bakara yang mengangkat kisah kepolisan dan ketenteraan, serta mengaut kutipan ‘box office’ lebih RM80 juta hasil tayangan di pawagam tahun ini, memberi petunjuk industri perfileman tempatan berdepan gelombang baharu.

Mengikut data diumumkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, kutipan pecah panggung bagi 56 filem tempatan dari Januari hingga November lalu, mencapai RM98.8 juta, iaitu kadar dianggap memberangsangkan bagi sektor perfileman tempatan yang pernah lumpuh akibat pandemik COVID-19, tiga tahun lalu.

Filem arahan Syafiq Yusof, Polis Evo 3 diumum ‘Raja Box Office’ apabila mengaut kutipan RM50.1 juta. Ini diikuti naskhah arahan Adrian Teh, iaitu Matbatt: Misi Bakara yang merekodkan kutipan RM32.5 juta.

Turut diumumkan dalam senarai enam filem pecah panggung bagi 2023 adalah Didi & Friends The Movie arahan Akmal Aziz Asmawi dan Roshfaizal Ariffin (RM8.1 juta); Imaginur arahan Nik Amir Mustapha (RM6 juta); Rahsia arahan Shamyl Othman (RM5.3 juta) dan Coast Guard Malaysia: Ops Helang arahan Allahyarham Pitt Hanif (RM4 juta).

Selain itu, kejayaan 30 filem tempatan meraih anugerah dan pengiktirafan di pelbagai festival antarabangsa, tahun ini, memberi isyarat industri perfileman negara berkembang pesat, sekaligus membuka lembaran sejarah baharu.

Hakikat itu diakui Fahmi yang menyifatkan 2023 sebagai ‘new wave’ atau gelombang baharu untuk industri sinematik tempatan atas pelbagai kejayaan dikecapi hasil kerja tangan pembikin filem tempatan.

“Ini menjadi satu titik dalam lembaran sejarah yang mungkin boleh dianggap sebagai ‘new wave’ (gelombang baharu) dalam industri perfileman tempatan.

“Dahulu, iaitu pada 2003 dan 2004 sering disebut dengan ‘new wave’. Tetapi, sekarang pada 2023, boleh dianggap sebegitu untuk industri perfileman kita.

“Itulah antara sebab mengapa saya beri penegasan selepas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) disahkan sebagai antara agensi di bawah Kementerian Komunikasi.

“Kita akan beri fokus kepada aspek pra-produksi dan produksi terutama bagi pembikinan skrip berkualiti dan aspek pemasaran,” katanya kepada pemberita selepas program Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia Tahun 2023 di Kementerian Komunikasi dan Digital di sini, kelmarin.

Program anjuran FINAS ini bertujuan meraikan 26 penerima termasuk syarikat produksi dan penggiat industri yang melakar kecemerlangan dalam industri filem negara di dalam negara dan antarabangsa, tahun ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini