comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pemaju hartanah, SkyWorld sasar disenaraikan di pasaran utama pada suku ketiga 2023

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: SkyWorld Development Bhd menjangka akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada suku ketiga tahun ini susulan perjanjian penajajaminan dengan Kenanga Investment Bank Bhd.

Pengasas dan Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas Datuk Seri Ng Thien Phing dalam kenyataan hari ini berkata pemaju hartanah bandar itu akan memanfaatkan hasil daripada tawaran awam permulaan (IPO) untuk meningkatkan simpanan tanahnya, membayar semula pinjaman bank, membiayai perbelanjaan penyenaraian dan bagi tujuan modal kerja.

Ng berkata syarikat itu akan “mengukuhkan lagi” kedudukannya di pasaran dan menawarkan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan susulan memulakan fasa baharu.

Langkah IPO tersebut melibatkan terbitan awam berjumlah 208 juta saham baharu dengan tawaran jualan sebanyak 192.0 juta saham sedia ada, dengan tawaran runcit 75 juta saham yang terdiri daripada 50 juta saham bagi permohonan rakyat Malaysia menerusi undian, dan 25 juta saham untuk permohonan pengarah yang layak, pengurusan kanan utama dan pekerja serta pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat.

Tawaran institusi itu terdiri daripada 325 juta saham IPO yang mewakili 32.5 peratus daripada saham terbitan SkyWorld yang diperbesarkan iaitu 150 juta akan ditawarkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan 175 juta saham ditawarkan kepada pelabur institusi dan terpilih.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Perbankan Pelaburan dan Perbankan Islam Kumpulan Kenanga Investment Bank Datuk Roslan Tik berkata Kenanga berbesar hati untuk menyokong perjalanan penyenaraian SkyWorld sebagai penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatannya.

“Lokasi pembangunan SkyWorld yang berkualiti dan strategik menempatkannya dalam kedudukan baik untuk mencapai pertumbuhan pada tahun-tahun akan datang dan meletakkan diri sebagai pemaju hartanah terkemuka,” katanya.

SkyWorld telah ditubuhkan pada 2006 dengan menumpukan kepada pembangunan kediaman dan komersial bertingkat tinggi serta rumah mampu milik dengan projek semasa dan dirancang terletak di Kuala Lumpur. – BERNAMA

Loading...
Terkini