comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pembelian ekuiti oleh institusi tempatan cecah paras tertinggi 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pembelian bersih oleh institusi tempatan di Bursa Malaysia mencecah paras tertinggi enam tahun minggu lepas, berjumlah RM1.79 bilion berbanding pembelian ekuiti domestik bernilai RM430.7 juta pada minggu sebelumnya, kata MIDF Research.

Jumlah tersebut adalah yang tertinggi sejak Februari 2018, menurut Laporan Aliran Dana mingguan terbaharunya.

Firma penyelidikan itu berkata ini adalah pembelian bersih minggu kelapan berturut-turut oleh institusi tempatan dan dari segi hari, mereka telah membeli selama 11 hari dagangan secara berturut-turut.

Bagaimanapun, seperti kebanyakan rakannya di Asia, Bursa Malaysia merekodkan jualan bersih besar-besaran minggu lepas, berjumlah RM1.59 bilion, aliran keluar bersih mingguan tertinggi dalam tempoh empat tahun, iaitu ketika negara memasuki Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020.

Ini merupakan minggu kelapan berturut-turut jualan bersih di Malaysia oleh pelabur asing.

“Mereka menjual setiap hari pada minggu lepas dan menjadi penjual bersih ekuiti Malaysia selama sembilan hari dagangan berturut-turut.

“Satu-satunya sektor dengan aliran masuk asing bersih minggu lepas ialah telekomunikasi dan media (RM9.3 juta), manakala tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM425.8 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM308. 9 juta), serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM206.3 juta),” katanya.

MIDF Research berkata pelabur asing menjadi lebih berhati-hati di tengah-tengah konflik geopolitik yang semakin meningkat, selain bimbang kadar faedah di AS akan kekal lebih tinggi untuk lebih lama.

Bagi peruncit tempatan, mereka juga kekal sebagai penjual bersih untuk minggu keenam berturut-turut, dengan jualan bersih bernilai RM195.8 juta. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini