comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Penggunaan EV lebih rancak jika harga kenderaan bawah RM100,000

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Peralihan kepada penggunaan kenderaan elektrik (EV) dijangka lebih rancak apabila harga kenderaan itu mencecah bawah paras RM100,000.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata negara masih di peringkat awal kepada peralihan kepada penggunaan EV, namun perubahan sudah dilihat dengan adanya kenderaan sedemikian yang ditawarkan pada harga serendah RM160,000.

Katanya, dengan harga yang lebih mampu milik akan mengubah pemikiran bahawa EV bukan lagi kenderaan mewah.

“Pemacu perubahan (kepada penggunaan EV) adalah apabila kos EV mencecah paras bawah RM100,000 dan kita masih belum mencapainya lagi. Namun, kita sudah melihat jenama yang menawarkan harga serendah RM160,000.

“Tesla yang sering dilihat sebagai kereta mewah, kini model paling murah ditawarkan di Malaysia adalah kurang RM200,000. Ia adalah harga kedua terendah di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di di Persidangan Peralihan Tenaga 2023 dianjurkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) di sini, hari ini.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, dengan kehadiran Tesla dan pembukaan ibu pejabatnya di Cyberjaya akan menggalakkan lagi peralihan kepada penggunaan EV di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya peralihan kepada EV akan terus dilihat secara berterusan dan harga akan menjadi lebih mampu milik dengan permintaan yang terus meningkat.

BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions baru-baru ini mengunjurkan jualan EV di Malaysia akan meningkat empat kali ganda pada 2023, walaupun kadar penembusan kenderaan itu di negara ini hanya pada 1.8 peratus.

Ia berkata, usaha mewujudkan kemudahan pembuatan Volvo dan Mercedes-Benz di peringkat tempatan akan turut menyuntik minat terhadap EV di negara ini.

Menurutnya, Tesla juga bersetuju untuk membuka ibu pejabat serantau dan kemudahan servis di Malaysia manakala Neta, jenama EV China oleh Hozon New Energy Auto, juga telah memasuki pasaran tempatan.

Pada masa sama, Proton Holdings Bhd juga mengumumkan pelan hala tuju bagi pengelektrikan yang merangkumi hibrid, EV hibrid ‘plug-in’ dan EV dengan bateri sepenuhnya.

Kerajaan turut mengumumkan lanjutan pengecualian duti import penuh bagi komponen yang digunakan dalam pemasangan EV sehingga Disember 2027 serta pengecualian cukai eksais dan cukai jualan penuh bagi EV pemasangan tempatan (CKD) manakala pengecualian duti pemasangan luar negara (CBU) telah dilanjutkan sehingga Disember 2025.

Loading...
Terkini