comscore
Tumpuan :
Nasional

MITI galak lebih banyak kenderaan elektrik mampu milik diperkenal

Kerajaan menyasarkan untuk menyediakan sekurang-kurangnya 10,000 unit kemudahan pengecasan awam menjelang 2025.

PETALING JAYA: Sebagai usaha memajukan industri kenderaan elektrik (EV) negara, lebih banyak kenderaan jenis itu yang mampu milik perlu diperkenalkan di Malaysia.

Timbalan Ketua Setiausaha Industri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Norazman Ayub berkata usaha itu dilihat bukan satu perkara yang mustahil dengan kemasukan kenderaan EV berharga serendah RM120,000 akan dibawa masuk ke Malaysia pada suku kedua tahun ini.

“Kami menggalakkan pengimportan lebih banyak EV terutamanya dari China kerana kami mahu mempunyai EV yang mampu dimiliki oleh rakyat,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada majlis makan malam ulang tahun platinum ke-70 Persatuan Elektrik dan Elektronik Malaysia.

Oleh itu, daripada segi infrastruktur pengecasan, kerajaan menyasarkan untuk menyediakan sekurang-kurangnya 10,000 unit kemudahan pengecasan awam menjelang 2025.

“Kami akan bekerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya seperti PLUS Expressways Bhd untuk stesen pengecasan.

“Kami ingin menjemput mana-mana pelabur tertentu bagi melabur dalam stesen pengecasan untuk menjadi sebahagian daripada pembangunan ekosistem EV,” katanya.

Sebelum ini, Menteri berkaitan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia komited untuk menarik pelaburan dalam industri EV dan mencapai sasaran negara dalam menghasilkan kenderaan elektrik, termasuk hibrid, menyumbang 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri menjelang 2030.

Tengku Zafrul berkata kerajaan memberi keutamaan kepada pembangunan ekosistem EV serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan juga sedang merangka pekeliling bagi memudahkan proses kelulusan stesen pengecasan di peringkat kerajaan tempatan. –BERNAMA

Loading...
Terkini