comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] Peningkatan hutang kerajaan 2023 lebih kecil

 

KUALA LUMPUR: Peningkatan hutang Kerajaan Persekutuan direkodkan pada 8.6 peratus pada tahun lalu berbanding 10.2 peratus pada 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata jumlah keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan pada 2023 adalah sebanyak RM1,172.5 bilion atau 64.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding RM1,079.6 bilion atau 60.3 peratus daripada KDNK pada 2022.

“Peningkatan (hutang) yang lebih rendah ini adalah hasil daripada langkah konsolidasi fiskal kerajaan yang berjaya menurunkan defisit fiskal kepada RM91.4 bilion pada tahun 2023 berbanding RM99.5 bilion pada 2022.

“Komposisi hutang Kerajaan Persekutuan 2023 terdiri daripada hutang dalam negeri berjumlah RM1,142.7 bilion atau 97.5 peratus dan pinjaman luar pesisir sebanyak RM29.8 bilion atau 2.5 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang minta Menteri Kewangan menyatakan secara terperinci jumlah pinjaman baharu dalam bentuk bon kerajaan dan lain-lain pinjaman, bayaran balik bon kerajaan serta status hutang kerajaan bagi tahun 2022 dan 2023.

Dalam pada itu, katanya, pinjaman yang diterbitkan Kerajaan Persekutuan adalah berjumlah RM226.6 bilion iaitu dua peratus lebih rendah pada tahun lalu, berbanding tahun 2022, yang merekodkan sebanyak RM230.9 bilion.

Katanya, penurunan pinjaman itu hasil daripada pengurangan terbitan baharu kepada RM92.6 bilion dan RM134 bilion bagi pembiayaan semula hutang yang matang bagi tahun 2023.

“Semua terbitan hutang 2023 dan 2022 adalah diperolehi sepenuhnya secara domestik menerusi terbitan instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) sebanyak RM90 bilion pada 2023 dan RM86.5 bilion tahun 2022.

“Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) sebanyak RM95 bilion tahun 2023, RM85 bilion tahun 2022 dan bil perbendaharaan sebanyak RM41.6 bilion tahun 2023, RM59.5 bilion (2022),” katanya.

Anwar berkata komposisi hutang Kerajaan Persekutuan 2023 terdiri daripada hutang dalam negeri berjumlah RM1,142.7 bilion atau 97.5 peratus dan pinjaman luar pesisir sebanyak RM29.8 bilion atau 2.5 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang.

“Sementara itu, komposisi hutang Kerajaan Persekutuan 2022 terdiri daripada hutang dalam negeri berjumlah RM1,050.1 bilion atau 97.3 peratus dan pinjaman luar pesisir sebanyak RM29.5 bilion atau 2.7 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya mengambil kira komitmen jaminan berjumlah RM226.1 bilion dan liabiliti lain berjumlah RM133.7 bilion, kedudukan pendedahan hutang dan liabiliti Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM1,532.3 bilion atau 84 peratus daripada KDNK pada akhir Disember 2023.

Katanya, Kerajaan Persekutuan kekal komited untuk menurunkan paras hutang seperti sasaran yang ditetapkan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) iaitu paras keseluruhan hutang di bawah 60 peratus daripada KDNK yang perlu dicapai dalam jangka masa sederhana.

“Dalam tempoh ini, kerajaan mempunyai ruang untuk menurunkan defisit fiskal dan paras hutang secara beransur-ansur tanpa menjejaskan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat seterusnya meningkatkan kredibiliti kerajaan yang lebih bertanggungjawab,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini