comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Perdagangan borong dan runcit pada Mei naik 6.6%

KUALA LUMPUR: Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan berjumlah RM138 bilion, tumbuh 6.6 peratus tahun ke tahun pada Mei 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu disebabkan oleh subsektor kenderaan bermotor, yang melonjak 22% atau RM3.1 bilion kepada RM17 bilion.

“Perdagangan runcit juga berkembang sebanyak 5% atau RM2.8 bilion kepada RM58.8 bilion, diikuti perdagangan borong dengan peningkatan 4.4% atau RM2.6 bilion kepada RM62.2 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata bagi prestasi mengikut subsektor, pertumbuhan dua angka sebanyak 22% dalam subsektor kenderaan bermotor bulan ini didorong oleh jualan kenderaan bermotor yang melonjak 29.8 peratus atau RM2.1 bilion kepada RM8.9 bilion.

Ini diikuti oleh jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor, penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor yang masing-masing meningkat 17.7% dan 20.4%.

Bagaimanapun, jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal menurun sebanyak 5%.

Mohd Uzir berkata, indeks volum perdagangan borong dan runcit bagi Mei mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.7% didorong oleh pengembangan dalam semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (17.8 peratus), perdagangan borong (5.3 peratus) dan perdagangan runcit (2.4 peratus). — BERNAMA

Loading...
Terkini