comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kekosongan jawatan diiklankan dalam talian meningkat 29.5 peratus

PUTRAJAYA: Kekosongan jawatan diiklankan dalam talian merekodkan peningkatan 29.5 peratus dengan 338,305 kekosongan pada suku ketiga 2023, berbanding 261,231 kekosongan pada suku kedua tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Berdasarkan Analisis Data Raya Job Market Insights dan My Job Profile: Penawaran Pekerjaan Diiklankan Dalam Talian di Malaysia, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sebanyak 77,499 pertubuhan menawarkan kekosongan jawatan pada suku ketiga 2023, berbanding 70,571 pertubuhan sebelumnya.

Berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, bilangan kekosongan jawatan mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu 77.9 peratus (suku ketiga 2023) berbanding 29.3 peratus pada suku kedua.

“Perincian secara bulanan menunjukkan majoriti kekosongan jawatan telah diiklankan pada September 2023 dengan 136,180 kekosongan merangkumi sumbangan sebanyak 40.3 peratus pada suku ketiga 2023. Sementara itu, terdapat 107,183 dan 94,942 kekosongan masing-masing pada Julai dan Ogos 2023,” katanya.

Bagi kekosongan jawatan diiklankan dalam talian mengikut kategori pekerjaan, beliau berkata profesional menunjukkan sumbangan terbesar pada suku tahun berkenaan dengan 48.6 peratus atau 164,411 kekosongan, diikuti 62,628 bagi kategori juruteknik dan profesional bersekutu manakala pengurus menyumbang 53,156 kekosongan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini