comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PERNAS dijangka kembali ke KPDN tahun ini

Oleh: Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos sara Hidup (KPDN) sasar Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS) akan dikembalikan di bawah kementeriannya menjelang akhir tahun ini.

Ketika ini, akta dan pendaftaran francais di bawah bidang kuasa KPDN, manakala pelaksanaan PERNAS di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata beliau telah menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim awal tahun ini, sebaik menerajui kementeriannya bagi memohon PERNAS diletakkan di bawah KPDN.

Katanya, perkara berkenaan juga sudah dibincangkan di dalam kabinet sebelum ini, namun masih belum ada keputusan.

“Sasaran kita secepat mungkin, tahun ini. Tapi itu saya serahkan kepada kebijaksanaan kabinet terutamanya Perdana Menteri. Beliau pun faham yang sememangnya KPDN adalah kementerian yang mempunyai paling sedikit agensi. Kami hanya ada tiga sahaja
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).”

“Jadi kalau dapat PERNAS dikembalikan kepada matlamat dan objektif asal itu amat membantu untuk kita terus jadikan industri francais ini sesuatu yang memberi kesan langsung kepada usahawan kita,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Ekspo Francais Peruncitan dan Francais Antarabangsa Malaysia 2023 (FE MIRF 2023) di sini, hari ini

Mengulas lanjut Menteri KPDN itu berkata, beliau juga sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick secara baik berhubung perkara berkenaan dan masing-masing tiada masalah untuk cuba kembalikan PERNAS di bawah KPDN.

“Malah, perkara ini diminta sendiri oleh peserta industri francais kerana mereka merasakan lebih mudah untuk berurusan dan mengadakan libat urus jika keseluruhan rantaian nilai itu diletakkan dibawah KPDN,”katanya.

Loading...
Terkini