comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN nafi subsidi diesel dihapus mulai 1 Januari 2024

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyangkal dakwaan di media sosial, kononnya subsidi diesel akan dihapuskan bagi penggunaan kenderaan bermula 1 Januari depan.

Kenyataan KPDN memaklumkan kementerian itu sedang melaksanakan projek rintis bagi melihat keberkesanan sistem fleet card dan Sistem MySubsidi Diesel, membabitkan enam syarikat yang menerima kuota bagi ‘skid tank’, yang akan tamat tempoh pada 14 Januari depan.

Jelasnya, ia sama sekali tidak membabitkan pengguna kenderaan diesel individu.

“Proses pengujian ini perlu dilaksanakan bagi melihat kecekapan sistem yang dibangunkan, supaya ia benar-benar menepati spesifikasi dan matlamat penyasaran semula subsidi diesel, seperti mana yang dirancang.

“KPDN berharap tidak ada mana-mana pihak menghebahkan sesuatu perkara yang tidak jelas dan boleh mengelirukan orang ramai,” menurut kenyataan itu.

KPDN berkata, sebarang pengumuman rasmi berhubung mekanisme pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel akan dibuat kementerian itu dan Kementerian Kewangan, selepas  sesi libat urus dan jalanan ujian sistem fleet card serta Sistem MySubsidi Diesel selesai dilaksanakan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini