comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PEKEMA, Funding Societies jalin kerjasama kukuh industri automotif tempatan 

SEPANG : Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) bersama Funding Societies, platform pembiayaan digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersepadu terbesar di Asia Tenggara, menjalin kerjasama bagi memberi akses mudah kepada pembiayaan melalui platform kewangan digital.

Perjanjian dimeterai melalui jalinan kerjasama itu, memberi tumpuan kepada sokongan kewangan yang diperlukan oleh ahli PEKEMA yang terdiri daripada pengimport dan peniaga kenderaan dari seluruh pelosok Malaysia.

Pemangku Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, bahawa kerjasama itu mempunyai potensi besar untuk memberikan impak positif kepada industri automotif negara.

“Satu daripada aspek utama perjanjian ini adalah memberikan sokongan kewangan yang lebih kukuh kepada ahli PEKEMA untuk memudahkan pembelian stok kenderaan bagi tujuan “floor stocking”. Langkah ini penting dalam memastikan kelancaran perniagaan mereka serta untuk memenuhi permintaan pelanggan dengan efisien,” ujarnya.

Menurut Mohamed Nazari, PEKEMA menjalin kerjasama dengan kedua-dua institusi kewangan dan bukan kewangan dalam usaha untuk memaksimumkan ekosistem pembiayaan yang lebih meluas.

“Pendekatan inovatif ini dijangka akan mendorong peningkatan jualan dalam industri automotif dan memberi ruang kepada ahli untuk meneroka model pembiayaan yang berbeza sejajar dengan trend dan keperluan pasaran semasa.
“Kerjasama dengan Funding Societies ini selaras dengan misi PEKEMA untuk memperkukuhkan kedudukan industri automotif Malaysia dalam menghadapi transformasi global dengan menggunakan teknologi dan kerjasama yang dinamik,” katanya.

Tahun lalu, PEKEMA memainkan peranan penting dengan mengimport lebih daripada 46,000 kenderaan dan menjual kira-kira 37,000 unit daripadanya, memberikan sumbangan sebanyak 5.2 peratus kepada jumlah penjualan industri kenderaan (Total Industry Volume, TIV).

Dalam suasana pertumbuhan ekonomi Malaysia yang stabil serta pelancaran model-model baharu, TIV bagi tahun ini dijangka akan mencapai 725,000 unit, mengikut unjuran pasaran.

Dengan lebih daripada 340 pengedar, 400 gudang berlesen dan bilik pameran di seluruh negara, PEKEMA berada dalam kedudukan kukuh untuk terus memainkan peranan utama dalam pasaran automotif.

Loading...
Terkini