comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pindaan caj khidmat penerbangan adalah adil – MAVCOM

Saripuddin (kanan) ketika menjawab soalan media ketika taklimat media selepas majlis penghargaan untuk pihak berkepentingan yang terbabit dalam pelaksanaan Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang di sini, hari ini. – FOTO: NSTP

SEPANG: Pelaksanaan pindaan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) ke atas penumpang pemindahan melalui Malaysia adalah selaras dengan langkah yang diambil pengawal selia lapangan terbang lain termasuk Singapura dan Thailand.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Datuk Seri Saripuddin Kasim, berkata kadar pindaan PSC baharu itu di antara RM7 dengan RM73 bagi RP1 dikenakan bagi Tempoh Kawal Selia Pertama (RP1) yang berkuat kuasa pada 1 Jun 2024 lebih adil untuk Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan penumpang lain.

“Penumpang pemindahan juga menikmati semua perkhidmatan yang ditawarkan lapangan terbang. Justeru, pindaan PSC ini adalah adil dan banyak lapangan terbang lain sudah melaksanakannya,” katanya pada taklimat media selepas majlis penghargaan untuk pihak berkepentingan yang terbabit dalam pelaksanaan Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang di sini, hari ini.

Mac lalu, MAVCOM mengumumkan pindaan kepada PSC bagi RP1 bermula 1 Jun 2024 hingga 31 Disember 2026.

MAVCOM menjelaskan tiket yang dikeluarkan sebelum 1 Jun 2024 tidak akan tertakluk kepada kadar baharu itu, walaupun tarikh perjalanan berlaku pada atau selepas tarikh itu.

Suruhanjaya itu memaklumkan bahawa kadar pindaan PSC baharu itu di antara RM7 dengan RM73 bagi RP1 dikenakan kepada penumpang yang berlepas dari dan pemindahan melalui Malaysia dan kadar itu termasuk caj keselamatan iaitu caj bagi penyediaan perkhidmatan keselamatan di lapangan terbang.

MAVCOM memaklumkan bahawa pihaknya mengekalkan PSC pelepasan domestik pada RM11 di semua lapangan terbang kecuali Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (JHB).

Berdasarkan kadar PSC baharu, PSC ASEAN dan destinasi melangkau ASEAN telah digabungkan menjadi PSC antarabangsa tunggal berjumlah RM73 bagi Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan RM50 bagi Terminal 2 KLIA berserta lapangan terbang lain, sementara kadar PSC semasa ASEAN dan destinasi melangkau ASEAN masing-masing pada RM35 dan RM73.

MAVCOM juga memperkenalkan PSC pemindahan bagi RP1, di semua lapangan terbang di Malaysia dengan kadar untuk perjalanan domestik melalui semua lapangan terbang ialah RM7, manakala kadar RM42 untuk perjalanan antarabangsa melalui Terminal 1 KLIA dan RM29 untuk perjalanan antarabangsa melalui Terminal 2 KLIA dan lapangan terbang lain.

Sementara itu, MAVCOM melaksanakan Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan (QoS) Lapangan Terbang di seluruh negara sehingga 2027 bagi memastikan peningkatan berterusan dalam kualiti perkhidmatan untuk pengguna lapangan terbang.

Saripuddin berkata, Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang menggariskan komitmen MAVCOM untuk mempertingkatkan pengalaman penerbangan secara mampan bagi pengguna lapangan terbang.

“Kejayaan Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang ini disokong oleh kerjasama yang teguh merentas seluruh komuniti penerbangan.

“Dengan memupuk perkongsian kerjasama dan mengekalkan ketelusan, kami berdedikasi untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan di semua lapangan terbang, memastikan pengalaman perjalanan yang lancar dan meningkatkan kepuasan pengguna,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini