comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PKS mampu jimat kos operasi RM3.5 Juta menerusi program MPC

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berjaya merekodkan penjimatan kos operasi berjumlah RM3.5 juta daripada pelaksanaan penambahbaikan proses kerja yang mudah di peringkat enterpris menerusi Program Peningkatan Produktiviti Enterpris Tempatan.

Dalam kenyataan hari ini, katanya program itu adalah inisiatif terkini MPC melalui syarikat peneraju dan pihaknya komited dalam usaha merapatkan jurang produktiviti antara perniagaan sekali gus membawa syarikat tempatan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke rantaian nilai lebih tinggi dan bersepadu.

Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata inisiatif tersebut dapat membantu PKS menghasilkan produk dan perkhidmatan yang setanding dengan piawaian antarabangsa melalui bimbingan syarikat peneraju untuk meningkatkan sasaran sumbangan eksport 25 peratus daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

“Program ini berteraskan perkongsian dan perpindahan amalan terbaik, maklumat, kepakaran, teknologi dan kemahiran daripada syarikat peneraju, lazimnya dalam kalangan syarikat besar dan konglomerat multinasional kepada syarikat tempatan bertaraf PKS dalam rantaian nilai bekalan sama, justeru membina satu kluster industri yang kukuh,” katanya.

Menurutnya syarikat peneraju menerima manfaat apabila PKS dalam rantaian bekalan mereka turut sama kompeten dan berdaya saing manakala PKS berpeluang mempelajari amalan terbaik yang membolehkan mereka menambah baik operasi serta mengurangkan kos perniagaan.

Abdul Latif berkata fokus utama program ini tertumpu ke arah pengurangan kos operasi perniagaan, kecekapan proses kerja dan penggunaan masa, sumber dan tenaga yang optimum di peringkat organisasi.

Menurut MPC, program berkenaan telah dijalankan secara uji kaji  dengan sebuah syarikat peneraju bertaraf antarabangsa telah membimbing 12 PKS subsektor elektrikal dan elektronik serta mesin dan peralatan.

Perkongsian amalan terbaik pelbagai topik pengurusan perniagaan telah dijalankan yang berjaya menggalakkan PKS membuat 12 projek peningkatan produktiviti dengan jumlah penjimatan kos bernilai RM1.2 juta, katanya.

Selain itu, menurutnya sebuah syarikat peneraju bertaraf global daripada subsektor kimia dan produk kimia turut membantu 16 PKS melaksanakan 32 projek peningkatan produktiviti dengan mencatat penjimatan kos operasi sebanyak RM2.3 juta.

“Melalui  program ini, secara puratanya berlaku peningkatan produktiviti 35 peratus, peningkatan pendapatan syarikat dan penjimatan kos operasi iaitu masing-masing 60 peratus dan 50 peratus serta pengurangan proses kerja sebanyak 40 peratus,” kata MPC. – BERNAMA

Loading...
Terkini