comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Prospek ekonomi Malaysia bertambah meyakinkan – DOSM


PUTRAJAYA: Pertumbuhan positif tiga bulan berturut-turut Indeks Pelopor (IP) menggambarkan prospek ekonomi yang optimis pada suku kedua 2024, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

IP memberi petunjuk awal mengenai titik perubahan yang ketara dalam kitaran perniagaan dan arah tuju ekonomi bagi tempoh terdekat.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata prestasi tahunan IP disokong oleh kenaikan dalam Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (28 peratus) dan diikuti oleh import benar logam asas berharga & logam bukan ferus lain (9.9 peratus).

“Melihat kepada prestasi bulanan, IP mencatatkan 0.4 peratus pada Februari 2024, disokong oleh bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (0.4 peratus) dan import benar semikonduktor (0.2 peratus),” katanya dalam kenyataan Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak & Susulan bagi Februari 2024 yang diterbitkan DOSM, hari ini.

Mohd Uzir berkata, kadar pertumbuhan IP terlicin bagi Februari 2024 kembali melebihi 100 mata selepas 16 bulan di bawah trend.

Katanya, ini menggambarkan ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik pada masa hadapan, disokong oleh pertumbuhan domestik dan perbelanjaan isi rumah yang berterusan.

Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan keadaan ekonomi semasa mengekalkan pertumbuhan positifnya sebanyak 1.9 peratus kepada 124.2 mata pada Februari 2024 berbanding 121.9 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan ini selaras dengan prestasi yang memberangsangkan daripada kesemua komponen IS kecuali gaji & upah benar dalam pembinaan (-0.8 peratus).

Pada masa yang sama, prestasi bulanan IS bertumbuh 0.2 peratus dipacu oleh peningkatan dalam Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (0.4 peratus).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
 
 
Loading...
Terkini