comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit diniagakan lebih tinggi sedikit ketika ditutup pada Khamis berbanding dolar AS menjelang pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama Amerika Syarikat lewat malam ini.

Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.7745/7775 berbanding dolar AS daripada 4.7765/7780 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ketika ringgit meningkat, rupiah Indonesia dan yen Jepun melemah berbanding dolar AS. Beliau menyatakan rupiah Indonesia jatuh walaupun kadar faedah meningkat secara mengejut semalam.

Bank of Indonesia (BI) menaikkan kadar dasar mereka sebanyak 25 mata asas kepada 6.25 peratus untuk mengukuhkan mata wang dan sebagai langkah awal bagi membendung inflasi. Yen Jepun pula meneruskan kejatuhannya, susut 0.21 peratus kepada 155.68 yen berbanding dolar AS.

Laporan menyebut pelabur telah menjual yen Jepun untuk membeli dolar AS di tengah-tengah perbezaan kadar faedah yang luas di antara Jepun dan Amerika Syarikat.

“Pasaran akan memerhatikan data mengenai ekonomi AS, terutamanya KDNK suku pertama malam ini dan angka perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) (malam esok) sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS minggu depan pada 30 April dan 1 Mei.

“Nampaknya ekonomi AS yang teguh (setakat ini) telah memberikan sokongan kukuh kepada dolar AS,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata lonjakan tempahan untuk barangan tahan lama di AS baru-baru ini telah memberikan rangsangan kepada dolar AS dan yen yang semakin lemah mungkin memberi kesan kepada ringgit.

“Yen Jepun terus lemah tanpa campur tangan, yang berpotensi mempengaruhi tekanan menurun ke atas ringgit,” katanya.

Innes berkata, kadar inflasi Malaysia yang stabil menunjukkan “senario nuansa” iaitu perbezaan yang sangat sedikit untuk pasaran tempatan.

“Tanda-tanda pertumbuhan global yang menggalakkan, terutamanya tinjauan keyakinan dalam kalangan perniagaan di Eropah, boleh menawarkan prospek yang menjanjikan bagi trajektori ringgit,” tambahnya.

Ringgit turut diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0677/0698 daripada 3.0830/0840 ketika ditutup pada Rabu tetapi susut berbanding pound British kepada 5.9748/9786 daripada 5.9362/9381 dan jatuh berbanding euro kepada 5.1211/1243 daripada 5.1046/1062 sebelum ini.

Ringgit bagaimanapun diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang di negara-negara Asean.

Mata wang tempatan itu meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8939/9087 berbanding 12.9004/9097 ketika ditutup semalam dan lebih baik berbanding peso Filipina kepada 8.26/8.27 daripada 8.30/8.31 pada Rabu.

Ia naik berbanding rupiah Indonesia kepada 294.9/295.2 daripada 295.6/295.9 pada Rabu tetapi jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.5120/5144 daripada 3.5090/5104 sebelumnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini