comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS, pelabur tunggu keputusan PRN

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini kerana sentimen begitu berhati-hati menjelang pilihan raya di enam negeri esok.

Pada 9.05 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.5755/5795 berbanding dolar AS daripada 4.5690/5720 pada penutupan Khamis.

Seorang peniaga berkata pelabur enggan mengambil pegangan kerana mahu menantikan keputusan pilihan raya tetapi pada masa yang sama mencari pemangkin pasaran untuk hala tuju seterusnya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata indeks harga pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) bagi Julai yang dikeluarkan semalam akan mempengaruhi pergerakan ringgit hari ini.

“IHP seharusnya memberikan impak positif untuk ringgit terutamanya IHP teras kerana (IHP yang lebih tinggi) bermakna Rizab Persekutuan AS mungkin mahu mengubah pendirian dan melonggarkan dasar monetari untuk menyokong pertumbuhan, ” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata IHP AS merekodkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 3.2 peratus, melepasi 3.0 peratus yang dilihat pada Jun, walaupun ia kurang sedikit daripada unjuran konsensus sebanyak 3.3 peratus.

Dalam pada itu, ringgit Malaysia diunjur diniagakan dalam julat RM4.57 hingga RM4.58 hari ini.

RInggit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama yang lain.

Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1607/1637 daripada 3.1760/1783 pada penutupan dagangan Khamis, mengukuh berbanding euro kepada 5.0280/0324 daripada 5.0350/0383 dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.8031/8082 daripada 5.8296/8334 sebelumnya.

Sebaliknya, ringgit diniagakan kebanyakan rendah berbanding mata wang Asean yang lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3918/3952 daripada 3.3948/3975 pada Khamis.

Namun begitu, ringgit menyusut nilai berbanding peso Filipina kepada 8.15/8.16 daripada 8.12/8.13, lemah berbanding baht Thai kepada 13.0211/0388 daripada 13.0112/0264 dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 301.2/301.7daripada 300.8/301.2 penutupan urus niaga semalam. — BERNAMA

Loading...
Terkini