comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit ditutup rendah, 4.716 berbanding dolar AS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan jangkaan bahawa Bank of Japan (BoJ) akan menamatkan dasar kadar faedah negatif selepas mesyuarat BoJ berakhir esok, kata seorang penganalisis.

Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.7165/7195 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.7050/7095 pada Jumaat.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan juga lemah berbanding dolar AS menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) pada 19 dan 20 Mac.

“Peserta pasaran bimbang mengenai pendirian Rizab Persekutuan (Fed) berkaitan prospek penurunan kadar faedah. Ia adalah satu kesimpulan yang tidak disangkal bahawa Fed akan mengekalkan kadar stabil pada 5.50 peratus pada mesyuarat minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tumpuan akan diberikan kepada apa yang Fed menjangkakan kadar itu tahun ini dan dua tahun akan datang.

“Sekiranya pendirian untuk menaikkan kadar faedah diguna pakai, ia akan mengekalkan dolar AS di landasan yang lebih kukuh,” jelasnya.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1608/1630 daripada 3.1637/1669 ketika ditutup pada Jumaat tetapi susut berbanding pound Britain kepada 6.0060/0098 daripada 6.0003/0060 dan merosot berbanding euro kepada 5.1400/1433 daripada 5.1275/1324 sebelumnya.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama ASEAN.

Ia menambah berbanding baht Thailand kepada 13.1050/1203 daripada 13.1480/1661 pada penutupan Jumaat dan melonjak berbanding rupiah Indonesia kepada 300.5/300.9  daripada 301.5/302.0.

Bagaimanapun, unit tempatan berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.5253/5278 daripada 3.5183/5219 dan menguncup berbanding peso Filipina kepada 8.49/8.50 daripada 8.47/8.48 sebelumnya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini