comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih tinggi sedikit hari ini berikutan permintaan yang lemah terhadap dolar AS apabila hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) menyusut nilai.

Pada 9 pagi, ringgit menambah nilai kepada 4.7040/7090 berbanding dolar AS daripada 4.7065/7105 pada penutup Jumaat lepas.

Pasaran ditutup pada Isnin sebagai cuti penggantian perayaan Deepavali yang disambut pada Ahad.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata hasil Perbendaharaan AS 10 tahun susut 1.0 mata asas kepada 4.64 peratus.

Untuk hari ini, beliau berkata tumpuan utama akan diberikan kepada data indeks harga pengguna (CPI) AS yang dijangka menyederhana kepada 3.3 peratus pada Oktober selepas kekal pada 3.7 peratus selama dua bulan berturut-turut.

“Isu utama di sini ialah bilakah Rizab Persekutuan AS (Fed) akan melonggarkan pendirian sekatan mereka kerana inflasi dilihat semakin rendah.

“Ketidakpastian seperti ini akan menyebabkan kadar peningkatan ringgit menjadi tidak sekata selepas pasaran pekerjaan AS yang lemah pada minggu pertama November. Oleh itu, kami menjangkakan MYR/USD akan kekal dalam julat yang sempit hari ini, mungkin sekitar RM4.70,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Loading...
Terkini