comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit ditutup tinggi selepas langkah diambil bank pusat Malaysia, China

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini untuk hari kedua berturut-turut berikutan kesanggupan mengambil risiko yang semakin baik selepas langkah oleh bank pusat Malaysia dan China untuk menamatkan kemerosotan mata wang masing-masing.

Pada 6 petang, mata wang tempatan ditutup kepada 4.6640/6685 berbanding dolar AS daripada 4.6760/6805 pada Isnin.

Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan akan campur tangan dalam pasaran pertukaran asing untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan.

Menurut Penolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani, walaupun nilai ringgit akan terus ditentukan oleh pasaran, bank pusat menjangka langkah-langkah yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan untuk terus mengukuhkan ekonomi akan membantu memastikan ringgit mencerminkan asas negara dengan lebih baik.

Mengulas selanjutnya, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit diniagakan lebih kukuh hari ini berikutan dolar AS lemah berbanding pertukaran asing Asia susulan laporan bahawa bank-bank utama milik kerajaan China dilihat menjual dolar di pasaran pertukaran asing luar pesisir.

“Sehubungan itu, tindakan tersebut telah mengurangkan trajektori kelemahan yuan China. Kekukuhan yuan membantu ringgit untuk menamatkan kemerosotannya hari ini,” katanya kepada Bernama.

Yuan China meningkat pada Selasa selepas bank pusat melaksanakan penetapan hariannya lebih kukuh berbanding jangkaan pasaran.

Loading...
Terkini