comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit meningkat semula

KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat semula pada sesi dagangan awal hari ini berikutan dolar AS merosot selepas data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) S&P kurang menggalakkan.

Pada 9.05 pagi, ringgit naik kepada 4.7730/7780 berbanding dolar AS daripada 4.7785/7820 pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) susut daripada 106.077 mata kepada 105.675 mata semalam berikutan data mengenai sentimen pembuatan dan perkhidmatan Amerika Syarikat (AS) yang merosot pada April.

Indeks PMI untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan AS, masing-masing jatuh kepada 49.9 daripada 51.9 pada Mac dan kepada 50.9 daripada 51.7 pada Mac.

“PMI pembuatan AS merosot di bawah paras 50 mata buat kali pertama sejak Januari lepas selepas ia kekal melebihi 50 mata selama tiga bulan berturut-turut.

“Ia mencerminkan permintaan akhir merosot, menyebabkan sebahagian pengeluar mengekalkan lebih banyak inventori,” katanya.

Data terkini meningkatkan risiko penurunan hasil bon AS dan seterusnya boleh memberi tekanan kepada dolar AS.

Oleh itu, ringgit akan mencatatkan prestasi yang menggalakkan berikutan dolar AS yang rendah, dengan tumpuan seterusnya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) awal AS pada suku pertama dan data Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) pada Mac untuk mengukur prospek kadar faedah pada masa depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini