comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Saham Maybank jadi pilihan utama pelabur asing

KUALA LUMPUR: Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih dalam pasaran ekuiti Malaysia pada Ogos 2023 dengan saham Maybank menjadi pilihan utama, demikian menurut penganalisis.

Penganalisis Maybank Investment Bank, Wong Chew Hann, berkata saham lain yang turut menjadi tumpuan belian oleh pelabur asing berdasarkan nilai pada bulan itu ialah YTL Power, S P Setia, KL Kepong dan UMW.

Beliau berkata, dalam tempoh lapan bulan tahun ini, saham Maybank menjadi pilihan belian oleh pelabur asing, diikuti saham Malaysia Airports, Gamuda, YTL Power dan CelcomDigi.

“Selepas aliran positif yang kukuh pada Julai dengan sejumlah RM1.41 bilion, pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih ekuiti Malaysia pada Ogos 2023.

“Namun, jumlah belian oleh pelabur asing itu rendah sedikit kepada RM141 juta,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Sementara itu, Chew Hann berkata, dalam tempoh lapan bulan 2023, jualan bersih oleh pelabur asing ialah sebanyak RM2.64 bilion.

Beliau berkata, pegangan asing dalam pasaran ialah 19.6 peratus pada akhir Ogos berbanding 19.7 peratus pada akhir Julai, paras rendah baharu sejak Krisis Kewangan Global (GFC).

“Saham yang mencatatkan jualan bersih tertinggi oleh pelabur asing pada Ogos ialah PETRONAS Chemicals Group, CIMB, Top Glove, Press Metal dan IHH.

“Bagi tempoh lapan bulan 2023, saham yang mencatatkan jualan bersih asing tertinggi pula ialah CIMB, PETRONAS Chemicals Group, Public Bank, RHB Bank dan Hong Leong Bank,” katanya.

Bulan lalu juga memperlihatkan institusi tempatan menjadi pembeli bersih dengan sejumlah RM291 juta, sekali gus meningkatkan belian bersih mereka bagi tempoh lapan bulan kepada RM3.16 bilion.

Manakala, pelabur runcit pula mencatatkan jualan bersih sebanyak RM434 juta pada Ogos dan dalam tempoh lapan bulan tahun ini, pelabur runcit menjadi penjual bersih sebanyak RM530 juta.

Loading...
Terkini