comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Samaiden raih kontrak loji tenaga suria RM181 Juta

PETALING JAYA: Samaiden Group Bhd (Samaiden), menerusi anak syarikatnya Samaiden Sdn Bhd (SSB), memperoleh kontrak bernilai RM181.34 juta.

Syarikat tenaga boleh diperbaharui (RE) yang terbabit terutamanya dalam kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sistem fotovoltaik solar (PV) dan loji janakuasa itu berkata, kontrak itu diraih daripada Suria Infiniti Sdn Bhd, sebuah syarikat bersekutu tidak langsung Uzma Bhd, untuk membangunkan loji tenaga solar di Mukim Sungai Petani, Kuala Muda, Kedah.

Uzma Kuala Muda Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh tidak langsung Uzma Bhd ialah pemilik loji tenaga solar itu.

Projek itu adalah loji janakuasa solar PV (LSSPV) berskala besar dengan kapasiti 50MWac yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga menurut program LSS4.

Kontrak yang diberikan kepada SSB dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan masa hadapan Samaiden sepanjang tempoh projek.

Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Ir Chow Pui Hee berkata, pihaknya terus menambah pekerjaan kepada perniagaan EPCC syarikat dan pada masa yang sama, meneruskan strategi untuk mempelbagaikan secara geografi di seluruh rantau ini.

Jumlah buku pesanan tertunggak Samaiden, yang berjumlah RM388 juta setakat hari ini, dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Loading...
Terkini