comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Sapura Energy lupus 50 peratus kepentingan dalam SapuraOMV pada harga RM3.37 bilion

KUALA LUMPUR: Subsidiari milik penuh Sapura Energy, Sapura Upstream Assets Sdn Bhd mengesahkan telah memeterai perjanjian bersyarat untuk melepaskan semua 50 peratus kepentingan ekuitinya dalam SapuraOMV Upstream Sdn Bhd kepada TotalEnergies Holdings SAS dari Perancis pada harga US$530.3 juta (RM2.53 bilion) secara tunai.

Sapura Energy dalam satu kenyataan berkata serentak itu TotalEnergies akan melepaskan Sapura Energy daripada tanggungan US$175 juta berhubung kemudahan pembiayaan yang dilanjutkan oleh OMV Exploration & Production GmbH (OMV E&P) kepada SapuraOMV.

Ia susulan langganan saham serta langkah penstrukturan semula antara Sapura Energy, OMV E&P, SapuraOMV dan Sapura Upstream pada 31 Januari 2019.

“Oleh itu, jumlah pertimbangan pelupusan bagi transaksi tersebut, merangkumi pembayaran tunai US$530.3 juta dan pelepasan obligasi US$175 juta, berjumlah sebanyak US$705.3 juta (RM3.37 bilion),” kata Sapura Energy dalam kenyataan itu.

Menurut Sapura Energy, perjanjian ini adalah susulan perjanjian yang ditandatangani awal tahun ini oleh TotalEnergies untuk memperoleh 50 peratus lagi pegangan dalam SapuraOMV daripada OMV AG yang berpangkalan di Austria.

Sapura Energy berkata cadangan pelupusan itu dijangka menghasilkan keuntungan bersih kira-kira RM793 juta apabila ia selesai, sekali gus meningkatkan kedudukan kewangan kumpulan.

Di bawah terma perjanjian itu, pemerolehan tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan pelarasan penutupan biasa.

Dan dengan mengambil kira kelulusan kawal selia daripada bidang kuasa tertentu, penutupan tersebut dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya menjelang separuh kedua 2025.

“Namun begitu, pengurusan kedua-dua Sapura Energy dan TotalEnergies komited untuk mempercepatkan penyelesaian transaksi ini menjelang akhir tahun,” kata syarikat itu.

Sapura Energy secara aktif telah meneruskan pelupusan kepentingannya dalam SapuraOMV, sejajar dengan penstrukturan semula bagi menangani hutang tidak mampan dan hutang tertunggaknya.

“Hasil pelupusan bersih ini akan digunakan untuk menyelesaikan jumlah terhutang kepada pemiutang skim Sapura Energy yang berkaitan termasuk pemberi pinjaman dalam pembiayaan pelbagai mata wang,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy, Datuk Mohd Anuar Taib berkata dengan pemilikan penuh SapuraOMV, kumpulan itu yakin TotalEnergies akan memberikan tumpuan yang tepat untuk mengembangkan lagi potensi pertumbuhan asetnya.

“Rasionalisasi portfolio ini menandakan peralihan strategik kami daripada perniagaan penerokaan dan pengeluaran, sambil kami meningkatkan keupayaan teras kami untuk menyampaikan penyelesaian inovatif kepada industri tenaga yang dinamik,” katanya.

Segmen perniagaan teras Sapura Energy yang tinggal merangkumi kejuruteraan dan pembinaan, penggerudian serta operasi dan penyelenggaraan, dengan tempahan dalam tangan secara kolektif mencecah kira-kira RM6.6 bilion.

SapuraOMV mempunyai operasi dengan peringkat berbeza dalam kitaran hayat minyak dan gas yang terletak di Malaysia, Australia, New Zealand serta Mexico.

Aset SapuraOMV terdiri daripada kepentingan pengendalian 40 peratus dalam Blok SK408 serta 30 peratus kepentingan pengendalian dalam Blok SK310, kedua-duanya terletak di luar pesisir Sarawak.

“Pembangunan medan gas Jerun dalam Blok SK408 kekal di landasan untuk dimulakan menjelang separuh kedua 2024,” katanya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini