comscore
Tumpuan :
Politik

PH garis lima teras manifesto hadapi PRK KKB

Calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao ketika menunjukkan manifestonya pada Ceramah Mega Perpaduan PRK N. 06 Kuala Kubu Bharu di Bandar Utama, Batang Kali malam ini. – FOTO: NSTP

HULU SELANGOR: Pakatan Harapan (PH) menggariskan lima teras dengan tujuh tawaran untuk dilaksanakan di Kuala Kubu Bharu dalam manifesto pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu.

Calon PH, Pang Sock Tao berkata tawaran bertemakan ‘Ikrar Kuala Kubu Bharu’ itu bertujuan memastikan kesinambungan pembangunan prasarana dan sosioekonomi ke arah meningkatkan taraf hidup penduduk.

Beliau berikrar untuk merancakkan aktiviti ekonomi berteraskan pembangunan industri di Hulu Selangor, pelancongan tempatan dan keusahawanan.

Anak kelahiran Ampang, Selangor itu juga beriltizam menjadikan Kuala Kubu Bharu sebagai lokasi percutian hujung minggu terkenal di negara ini; mengetengahkan tiga keunikan, antaranya bandar taman pertama di Malaysia dengan keistimewaan perancangan bandar.

“Saya akan bekerjasama dengan Tourism Malaysia dan Tourism Selangor bagi mempergiatkan lagi promosi Kuala Kubu Bharu sebagai destinasi pelancongan supaya lebih ramai tahu keindahan dan keistimewaan KKB.”

“Program keusahawanan kerajaan negeri dan kerajaan Pusat seperti HIJRAH Selangor, TEKUN dan pelbagai lagi juga akan dimanfaatkan bagi mempergiatkan keusahawanan masyarakat tempatan, terutama golongan muda dan wanita,” katanya di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook; Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu; Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo; Setiausaha Organisasi DAP, Steven Sim serta bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.

Hadir sama, Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ahli Majli Pimpinan Pusat PKR, Rodziah Ismail.

Sementara itu, Sock Tao berkata selain pelancongan dan keusahawanan, Kuala Kubu Bharu memiliki potensi tinggi untuk meningkatkan peluang pekerjaan, sekiranya Kawasan Industri Serendah boleh menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi.

“Saya akan bekerjasama dengan Exco Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti negeri, Ng Sze Han dan agensi kerajaan untuk membawa lebih banyak pelaburan ke Kawasan Industri Berteknologi Tinggi di Serendah yang limpahannya dapat dinikmati golongan muda Kuala Kubu Bharu.”

“Jika dipilih sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Kuala Kubu Bharu, saya mahu memacu pembangunan industri di sini untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup warga di kawasan ini,” katanya.

Selain ekonomi, PH berikrar menambah baik sistem pengangkutan, kemudahan awam dan meningkatkan kelajuan internet.

Ketiga, PH akan memastikan pembangunan mampan dan pemeliharaan alam sekitar, selain menceriakan kehidupan rekreasi warga tempatan.

Seterusnya, PH mahu melancarkan inisiatif untuk memulihara serta mengangkat warisan dan budaya Kuala Kubu Bharu, selain menjaga kebajikan rakyat agar tiada yang terpinggir.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini