comscore
Tumpuan :
Dunia

Indonesia sediakan penempatan baru kepada penduduk sekitar Gunung Ruang

Seorang penduduk membawa barangan miliknya melintasi sebuah rumah yang terkesan di Kampung Laingpatehi, Pulau Sitaro, Sulawesi Utara pada Jumaat susulan letusan di Gunung Ruang. – FOTO: Reuters

JAKARTA: Kerajaan Indonesia akan memindahkan secara kekal kepada hampir 10,000 penduduk selepas siri letusan di Gunung Ruang mencetuskan kebimbangan akan bahaya kepada penduduk yang menetap di pulau itu pada masa depan, kata seorang menteri pada Jumaat.

Kira-kira 9,800 orang tinggal di pulau Ruang, di Sulawesi Utara tetapi dalam beberapa minggu kebelakangan ini semua penduduk terpaksa dipindahkan selepas gunung itu terus memuntahkan larva dan abu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa sudah pun menaikkan status berjaga-jaga ke tahap tertinggi; menutup lapangan terbang wilayah di Manado dan mengeluarkan amaran kemungkinan tsunami jika sebahagian daripada gunung itu runtuh ke perairan di sekitarnya.

Ratusan buah rumah kategori sederhana tetapi kekal akan dibina di kawasan Bolaang Mongondow bagi memudahkan pemindahan, kata menteri penyelaras pembangunan manusia Muhadjir Effendy.

“Seperti yang diarahkan oleh Presiden Joko Widodo, kami akan membina rumah yang memenuhi piawaian bencana,” katanya sambil menambah tapak itu terletak kira-kira 200 kilometer (125 batu) dari Pulau Ruang.

Gunung Ruang kembali aktif secara tiba-tiba bulan lepas dan pakar mengatakan letusan itu dicetuskan oleh peningkatan aktiviti seismik, termasuk gempa bumi laut dalam.

Gunung itu meletus semula pada Selasa, menyebabkan kerosakan pada beberapa rumah dan memaksa penduduk berpindah dari pulau Tagulandang, tempat mereka pada mulanya mencari perlindungan, ke ibu kota wilayah Manado.

Jalan dan bangunan di Tagulandang diselubungi lapisan tebal abu gunung berapi dan bumbung beberapa rumah runtuh, menurut saksi.

Gunung berapi itu tidak meletus pada Jumaat tetapi Lapangan Terbang Sam Ratulangi di Manado masih ditutup sehingga petang berikutan penyebaran abu gunung berapi.

Indonesia terletak di Lingkaran Api Pasifik, kawasan aktiviti seismik tinggi di mana beberapa plat tektonik bertemu.

Loading...
Terkini