comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

SC minta bantuan awam kesan Ricky Wong Shee Kai

Bekas Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Asia Media Group Berhad (AMGB), Ricky Wong Shee Kai.

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Asia Media Group Berhad (AMGB), Ricky Wong Shee Kai dicari bagi menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerusi kenyataan memaklumkan pertuduhan dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) serta Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

“Pencarian itu selepas beberapa percubaan mengesan keberadaannya sudah dibuat sebelum ini dan terdapat pelbagai waran tangkap terhadapnya yang masih bebas,” kata kenyataan itu.

Pada 27 Disember 2019, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Wong bagi dua pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)(a) AMLATFPUAA kerana gagal hadir di hadapan Pegawai Penyiasat SC seperti dikehendaki mengikut Seksyen 32(2)(a) akta sama.

Berikutan itu, Wong boleh dikenakan denda sehingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 29 September 2021, mahkamah mengeluarkan waran tangkap kedua terhadap Wong bagi satu pertuduhan mengikut Seksyen 369(b)(B) CMSA yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM3 juta, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dibuat berikutan kenyataan palsu berkaitan hasil AMGB kepada Bursa Malaysia yang terkandung dalam Laporan Suku Tahunan AMGB mengenai Keputusan Disatukan bagi Suku Tahun Ke-4 berakhir 31 Disember 2015.

Terdahulu, bekas Akauntan Kumpulan AMGB Ong Kar Kian atau dikenali Ken Ong dituduh atas kesalahan sama pada 30 September 2021.

Perbicaraan masih berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Wong digesa memaklumkan kepada SC di talian 012-6102593 atau 012-6114657 atau emel di [email protected].

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini